TIADA siapa menyangka di sebalik tubuh kecil Sharinah Mohd. Nor, 49, tersemat jiwa kental. Dia tidak ada pengalaman berenang apatah lagi memori berlari dalam taman bunga. Allah menganugerahkan Sharinah dengan kedua-dua kakinya pendek tanpa tapak kaki. Itu kisah dahulu.
Kesungguhan Sharinah menjalani kehidupan dengan keupayaan berbeza dengan rakan-rakannya yang lain menyebabkan beliau menjadi manusia biasa yang luar biasa.
Beliau berasal dari Balik Pulau, Pulau Pinang dan kini menetap di Klang.
Ibu kepada tiga puteri dan seorang putera berusia 13 hingga 24 tahun itu kini boleh berbangga setelah memenangi hadiah Wanita Inspirasi Tun Dr. Siti Hasmah 2011.
Selain trofi, Sharinah turut membawa pulang wang tunai dan barang kemas berjumlah RM68,000.
Sebahagian kecil wang kemenangan itu akan didermakan kepada rumah-rumah kebajikan.
Katanya, kekurangan fizikal bukanlah halangan untuk beliau maju dalam setiap aspek malah Galeri Seni, Sharina Art miliknya di Pelabuhan Klang, Klang, merupakan manifestasi jihadnya dalam hidup.
Galeri seni itu menjual cenderamata, keris dan tempahan pakaian seragam korporat sejak 2004.
Katanya, ibu-ibu yang mempunyai anak kelainan upaya (OKU) perlu mempunyai kekuatan berbeza.
“Belai mereka dengan kasih sayang dan beri peluang untuk mereka buktikan bakat dan kemahiran luar biasa yang tersemat dalam diri mereka seperti orang normal lain,” katanya.
Ujarnya, ramai yang memikirkan golongan OKU ialah golongan yang tidak berupaya dalam semua segi.
“Mereka hanya cacat dari segi fizikal tetapi mereka mempunyai kekuatan mental yang luar biasa,” katanya.
Berbicara dengan Sharinah pasti membuatkan sesiapa sahaja beremosi untuk menjadi insan yang lebih bermotivasi.
Menyorot kenangan semasa Sharinah masih kecil, bekas pelajar St. George Girls School, Gorgetown, Pulau Pinang itu tidak dilimpahi kemewahan walaupun dia anak bongsu daripada lima beradik.
Kata Sharinah, ayahnya, Mohd. Nor Karim merupakan seorang pesara polis manakala ibunya hanyalah suri rumah sepenuh masa.
Sharinah memberitahu, ayahnya terpaksa terus bekerja selepas bersara kira-kira 20 tahun lalu sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat swasta di Pulau Pinang dengan gaji hanya RM150 sebulan.
Tangkap keli
“Susah sangat. Jika teringin makan ikan keli saya akan menangkap ikan itu di sawah bersama rakan-rakan.
“Cukup seronok pengalaman semasa berusia 10 tahun itu,” ujar sambil tersenyum.
Katanya lagi, beliau tidak bersekolah di sekolah pendidikan khas walaupun keadaan fizikalnya terhad.
“Saya ugut ayah dan ibu. Saya kata saya akan lari jika ibu daftar saya belajar di sekolah khas,” katanya.
|
|
Semasa di darjah empat, keadaan fizikal Sharinah meraih simpati guru Bahasa Inggerisnya sebelum menjadi tumpuan media.
“Seorang wartawan akhbar bahasa Inggeris The Star yang saya kenali sebagai Shah datang ke sekolah mengambil gambar saya sebelum menyiarkannya dalam akhbar tersebut.
“Saya popular macam selebriti namun saya tidak menerima sebarang bantuan persekolahan atau kaki palsu,” cerita Sharinah sambil menunjukkan keratan akhbar itu.
Sharinah benar-benar rasa teruji apabila ayahnya meninggal dunia semasa berusia 18 tahun. Mulai saat itu, tugas ketua keluarga digalas arwah ibunya, Ashabi Darus.
Pengorbanan ibunya ternyata berbaloi apabila Sharinah berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Seni Lukis dan Seni Reka pengkhususan Rekaan Grafik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada penghujung 1990-an.
Bagi Sharinah menara gading banyak mewarnai hidupnya malah beliau bertemu dengan suaminya, Abu Bakar Ishak, 58, ketika masih menuntut.
Menceritakan perkenalan itu, Abu Bakar berkata, beliau memilih Sharinah sebagai pasangan hidup kerana hatinya sempurna.
Sharinah memberitahu, semasa di UiTM beliau memakai kaki palsu.
Beliau memulakan alam pekerjaannya di syarikat pengiklanan dengan pendapatan RM1,500 sebelum menyertai syarikat suaminya dan berkahwin semasa berusia 27 tahun.
Selepas pengalaman bekerja dan pengiklanan, beliau mula menceburkan diri dalam perniagaan pada tahun 2004 dengan modal hanya RM1,000.
Wanita berjiwa besi ini mampu memajukan perniagaannya sambil membesarkan anak-anaknya.
Wanita yang sibuk dengan perniagaannya itu juga gemar memasak.
“Saya suka buat sambal belacan serta masak ayam berempah namun suami saya tidak gemar ikan,” katanya.
Katanya lagi, beliau juga tidak sanggup melihat golongan cacat anggota menggunakan alasan kecacatan fizikal dan meraih simpati tanpa mencuba dan menggunakan peluang yang disediakan kerajaan untuk maju dalam hidup.
Sharinah turut berhasrat untuk menulis sajak dan menulis autobiografi mengenai kehidupannya sendiri.
“Perkara itu sudah lama terlintas dalam fikiran naluri saya. Cuma setakat ini ingin menguruskan perniagaan saya sepenuhnya.
“Saya harap novel yang dihasilkan nanti dapat memberikan semangat kepada orang lain terutama OKU bahawa mereka boleh berjaya dalam hidup seperti insan normal lain,” katanya bersemangat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: