KUALA ROMPIN - Seorang anak peneroka berdepan dua pertuduhan di Mahkamah Majistret Rompin atas kesalahan memiliki dan mengambil dadah jenis morfin di sebuah rumah di Felda Keratong 5, pada 22 September lalu.
Tertuduh, Mohd Amirul Mamat, 24, mengaku salah atas perbuatannya selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nordiana Abd Aziz.
Bagaimanapun dia merayu supaya mahkamah mengurangkan hukuman ke atasnya kerana tidak mempunyai pekerjaan dan masih bergantung kepada keluarga.
Dalam rayuannya, Mohd Amirul memberitahu bahawa bapanya hanyalah seorang peneroka yang berpendapatan RM1,000 lebih sebulan.
“Saya merayu kepada mahkamah supaya hukuman ke atas saya dikurangkan kerana saya tidak bekerja dan terpaksa meminta pertolongan bapa untuk menjamin saya,” katanya.
Selepas mendengar rayuan tertuduh, Nordiana menjatuhkan hukuman denda RM2,800 atau penjara enam bulan bagi tuduhan pertama, sementara bagi tuduhan kedua pula, tertuduh diarah membayar denda RM1,500 atau penjara selama enam bulan serta tempoh pengawasan polis selama dua tahun.
Mengikut fakta kes, tertuduh didapati memiliki satu bekas logam mengandungi 0.03 gram bahan ketulan dan serbuk berwarna keputihan mengandungi heroin dan monoacetylmorphines, iaitu sejenis dadah berbahaya yang disenaraikan dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi tuduhan kedua pula, tertuduh pada jam 3.30 pagi pada hari yang sama di Balai Polis Tun Razak didapati positif dadah jenis morfin selepas ujian air kencing dijalankan ke atasnya.
Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah seksyen dan akta yang sama. Jika didapati bersalah boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan perintah pengawasan tidak kurang dua tahun atau tidak lebih tiga tahun.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Abdul Khaliq Mostapa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: