SEMAKIN tua semakin menjadi. Bagaimana kebanyakan kumpulan rock veteran antarabangsa yang aktif mengadakan jelajah konsertnya, begitulah juga dengan Search.Berumur lewat 40-an, malahan ada yang sudah melebihi usia 50-an tetapi Search tetap bertenaga untuk membuat persembahan lebih dua jam tanpa henti.
Beberapa jam sebelum konsert dimulakan, cuaca semakin baik walaupun langit masih mendung. Bermula jam 6 petang, sedikit demi sedikit kelibat peminat mula muncul di perkarangan Stadium Mini di Kompleks Sukan Tawau. Sekitar jam 7 petang, mereka sudah dibenarkan masuk.
Kira-kira jam 8 malam barulah suasana kemeriahan dirasai dengan kemunculan Stacy yang beraksi penuh agresif ketika membuat persembahan pembukaan.
Selepas hampir 45 minit kemudian, Stadium Mini Tawau mula riuh rendah dengan penayangan klip video yang memaparkan sedutan ringkas sejarah dan pencapaian Search selama 30 tahun dalam persada muzik rock.
Masih bertenaga dan mengekalkan attitude rock, Amy, Nasir dan Yazid memulakan peranan masing-masing dengan penuh bersemangat. Kawalan stamina dan suara yang teratur membuatkan vokal Amy sentiasa konsisten, tidak ada tanda ‘pancit’ biarpun pada lagu yang bernada tinggi.
Din (pemain gitar rhythm) dan Kid (gitar utama) melengkapkan aksi kumpulan ini yang turut disokong oleh Firdaus sebagai pemain keyboard. Kid yang tampil dengan gaya seolah-olah seperti Slash, bekas pemain gitar Gun’N’ Roses, tidak ketinggalan untuk menunjukkan skil bermain gitar secara solo.
Enam lagu dinyanyikan tanpa henti pada segmen pertama konsert ini. Amy mula melontarkan suaranya dengan menyanyikan lagu Panggung Khayalan, Gothic Malam Edan, disusuli lagu Fenomena, Serigala Segalanya, Balada Pemuzik Jalanan serta Hongky Tong Kosong.
Babak kedua konsert ini dimulakan dengan sedutan klip video yang merakamkan ulasan sebahagian peminat mengenai Search dan lagu-lagu mereka.
Apabila Firdaus memulakan intro lagu Isabella, suasana stadium mula bising. Ternyata Isabella memang lagu wajib dinyanyikan oleh Search dalam setiap persembahannya.
Pada babak kedua ini, Search menyanyikan 11 lagu dalam pelbagai rentak daripada rock n roll kepada Balada rock. Sebaik saja menyanyikan Isabella, lagu seterusnya Melastik Ke Bintang, cakap Memang Mudah, Rozana, Bisa, Laila Namamu Di Atas, Kejora, Gadisku, Isi Dan Kulit, Langit Dan Bumi dan Menara Kesesatan.
Segmen ketiga pula agak menarik apabila dimulakan dengan persembahan secara solo oleh Din dan Kid. Kedua-kedua saling mempamerkan kehandalan bermakna gitar sebelum Amy mengambil kedudukannya di pentas untuk menyanyikan lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur.
Seterusnya, Amy menyanyikan lagu Tiada Lagi yang pernah dipopularkan oleh Mayank Sari diikuti dengan Pelesit Kota. Nasir kemudian mengambil giliran untuk membuat persembahan intro untuk lagu yang memang ditunggu oleh peminat, Pawana.
Konsert Jelajah Fenomena Search diakhiri dengan lagu Balada rock yang boleh meninggalkan kenangan indah kepada peminat kumpulan ini apabila Amy menyanyikan Fantasia bulan Madu.
M Nasir kembali bersemangat
Sementara itu mengulas mengenai Konsert Fenomena 30 Tahun Search, pemain bass, Nasir Daud berkata, selepas selesai jelajah Tawau, konsert seterusnya ialah di Kuching pada 31 Disember dan kemungkinan turut beraksi di Singapura.
Tempoh ‘Fenomena 30 Tahun Search’ ialah selama setahun bermula Oktober 2011 sehingga Oktober 2012.
“Dalam tempoh setahun itu, memang kami sudah merancang pelbagai projek. Selain konsert, kami juga memang sedang membuat persiapan untuk album terbaru Search,” katanya.
Tambah Nasir lagi, komposer dan penerbit, Datuk M Nasir yang sebelum ini agak keberatan kali ini sudah teruja untuk menerbitkan album terbaru Search selepas melihat sambutan peminat berdasarkan konsert mereka.
“Dulu apabila kami minta dia (M Nasir) terbitkan album, dia tanya balik kepada kami, Search ada peminat lagi ke? Tapi kali ini, selepas melihat sambutan peminat pada konsert fenomena, dia jadi sangat teruja untuk menyiapkan album terbaru Search.
“Sambutan dan sokongan peminat terhadap Konsert Fenomena 30 tahun Search turut memberi semangat kepada M Nasir. Malahan empat lagu hampir disiapkan. Kami harap tahun depan album baru Search dapat disiapkan,” jelas Nasir.
Ditanya mengenai kemampuan pemain dram, Yazid Ahmad untuk meneruskan konsert fenomena Search tahun depan, Nasir berkata, mereka sudah ada pengganti yang bersedia untuk mengambil alih tempat Yazid.
“Sebagai orang lama dalam Search, kita faham mengapa Yazid tidak mahu melepaskan ‘kerusi’ pemain dram. Dia memang seorang yang bersemangat tinggi walaupun keadaan kesihatannya kadang-kadang kurang baik. Tapi selagi dia mampu, kami tidak ada halangan.
“Tapi sekiranya Yazid tidak mampu atas sebab kesihatannya, kami sudah bersedia dengan pengganti pemain dram yang bagus macam yazid juga,” kata Nasir mengulas keadaan Yazid yang kesihatannya kadang-kadang terjejas kerana masalah kencing manis.
Dalam persembahannya, Amy ‘mengisytiharkan’ bandar Tawau sebagai tempat kelahiran muzik rock di Sabah. Malahan vokalis Search ini juga menyifatkan Tawau juga seperti Johor Bahru di Semenanjung kerana melahirkan ramai pemuzik atau artis yang dikenali ramai.
“Dari dulu lagi, Tawau selalu akan menjadi destinasi utama kepada setiap penyanyi atau kumpulan rock membuat persembahan. Tawau sentiasa menjadi lokasi pilihan sebelum ke bandar lain di Sabah.
“Ini kerana Tawau mempunyai peminat muzik rock yang ramai. Setiap kali mana-mana kumpulan rock atau penyanyi membuat persembahan di sini, sambutannya pasti tidak menghampakan. Sebab itu, saya boleh katakan Tawau sebagai tempat paling ‘best’ bagi kebanyakan kumpulan rock kerana peminatnya yang cukup mengagumkan kami,” katanya.
Info: Search akan meneruskan Konsert Fenomena 30 tahun di Kuching, Sarawak pada 31 Disember 2011. Tiket konsert berharga RM25.
Fakta Fenomena & Search
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: