Wednesday, December 28, 2011

Maher Zain terharu

MAHER Zain berbaju Melayu menyampaikan lagu pada konsert 'Maher Zain Untukmu Rakyat' di Stadium Ipoh, Perak, Sabtu lalu.
MAHER Zain berbaju Melayu menyampaikan lagu pada konsert 'Maher Zain Untukmu Rakyat' di Stadium Ipoh, Perak, Sabtu lalu.
Penghormatan, sambutan meriah timbul hasrat untuk datang lagi ke Perak

KONSERT Maher Zain Untukmu Rakyat yang diadakan di Stadium Perak, Sabtu lalu, berjaya menarik lebih 30,000 orang daripada pelbagai peringkat usia bukan saja di Perak tetapi juga dari negeri lain berdekatan seperti Pulau Pinang dan Selangor.Peminat setia penyanyi kelahiran Lebanon yang bermastautin di Sweden itu mula membanjiri stadium seawal jam 7 petang bagi menyaksikan konsert yang diacarakan Datuk AC Mizal bermula jam 8.45 malam dengan Ramli Sarip menjadi penyanyi undangan bagi membuka tirai persembahan dengan lima lagu popularnya, seperti Doa Buat Kekasih dan Kamelia.
Konsert diteruskan dengan persembahan Irfan Makki iaitu penyanyi kelahiran Pakistan yang kini bermastautin di Kanada. Dia menyanyikan enam lagu antaranya, Waiting For The Call, Allahu, Mama dan You Never Walk Alone iaitu lagu yang pernah dipopularkan Michael Jackson.

Selepas lebih sejam menanti, peminat akhirnya bersorak gamat apabila penyanyi kesayangan mereka, Maher Zain memulakan persembahannya dengan mendendangkan Allahuakbar.

Penyanyi yang murah dengan senyuman itu mendendangkan 15 lagu, antaranya Insyaallah, Barakallah, Thank You Allah dan Hold My Hand. Malahan dia turut menjemput Irfan Makki untuk berduet dalam lagu I Believe.

Maher juga sempat mengenakan pakaian baju Melayu ungu lengkap bersampin pemberian Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketika mendendangkan dua lagu sebelum menamatkan persembahan kira-kira jam 11.30 malam.
Dr Zambry yang ditemani isteri, Datin Seri Saripah Zulkipli serta beberapa exco negeri turut menonton konsert itu yang diadakan sebagai salah satu usaha kerajaan negeri untuk mempromosi Tahun Melawat Perak 2012.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Maher Zain berkata ia adalah konsert kedua terbesar yang pernah diadakan di Malaysia tetapi kali ini lebih menimbulkan kenangan kerana pertama kali muncul berpakaian baju Melayu ketika melakukan persembahan.

"Masyaallah, saya sangat gembira dan sambutan peminat di Perak sangat hebat. Saya sangat bertuah dapat melakukan persembahan sebegini di sini. Satu kesempatan yang begitu bermakna sekali.

"Baju Melayu itu adalah pemberian Menteri Besar dan ia satu penghormatan buat saya yang sangat bertuah dapat memakai pakaian rasmi rakyat Malaysia pada malam ini. InsyaAllah, saya akan datang lagi dan amat berbesar hati untuk datang semula ke Perak untuk melakukan persembahan lagi," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: