BEGINI...Nofal (tengah) menunjukkan pergerakan tangan yang betul ketika bersilat.
DISIPLIN...pergerakan silat melatih kanak-kanak untuk lebih berdisiplin.
MELIHAT sekumpulan kanak-kanak berpakaian lengkap berbaju Melayu dan bertanjak sambil mengalunkan bunga silat kelihatan kesungguhan mereka. Walaupun ada langkah diatur kelihatan sumbang, masing-masing bersemangat mengikut arahan ketua jurulatih silat dan pesilat kebangsaan, Nofal Sandra Sofyan.
Mereka begitu tekun mendengar setiap arahan dan cuba memberikan yang terbaik sama ada daripada segi hayunan tangan mahu pun pergerakan kaki. Apabila masing-masing sudah mendapat rentak tersendiri, setiap langkah diatur sama penuh berseni.
Memang cantik dan comel apabila sekumpulan kanak-kanak berusia di antara lapan hingga 15 tahun melakukan pergerakan seni mempertahankan diri warisan Melayu.
Pergerakan silat yang disampaikan orang dewasa mungkin sudah biasa dilihat, namun tidak ramai ibu bapa hari ini memilih menghantar anak mereka menjalani latihan seni mempertahankan diri seperti silat yang dirasakan ketinggalan zaman atau tidak lagi bersesuaian pada masa kini sebaliknya memilih memberi pendedahan kepada seni bela diri seperti taekwondo atau karate.Menurut Nofal, mengajar silat kepada kanak-kanak memerlukan pendekatan berbeza.Ini kerana kanak-kanak bukan setakat diajar mengenai pergerakan dan langkah dalam silat, tetapi lebih kepada sikap serta keyakinan diri mereka. Ramai tidak tahu pergerakan dalam silat mempunyai banyak keistimewaan bukan saja pada fizikal, tetapi rohani mereka.
“Misalnya pada hari pertama mereka datang ke kelas, guru silat akan mengajar supaya menunjukkan tanda hormat kepada guru sebelum memulakan latihan. Sifat ini akan terbawa-bawa ketika mereka pulang ke rumah atau bertemu sesiapa saja yang lebih berusia,” katanya.
Selain itu silat melatih sifat disiplin dan sabar yang sangat tinggi pada kanak-kanak. Ini kerana dalam setiap latihan mereka diajar memahirkan langkah atau posisi ketika bersilat yang memerlukan lebih disiplin dan sabar apabila langkah diatur sumbang.
Hal ini akan meningkatkan sikap baik dalam diri setiap kanak-kanak supaya lebih tenang, berhati-hati dan bersaing dalam setiap bidang yang mereka ceburi.
Namun begitu sifat semula jadi kanak-kanak cepat bosan dalam apa juga dilakukan mereka. Bagi mengurangkan rasa tertekan dan bosan, Nofal tidak memberikan latihan yang berat sebaliknya mengajar pergerakan mudah membuatkan mereka rasa gembira, seronok dan ingin datang lagi untuk latihan seterusnya.
“Guru silat memainkan peranan penting bagi menimbulkan keceriaan dalam setiap sesi latihan. Apa yang penting guru memberitahu rahsia setiap pergerakan bagi memberi pendedahan dan kefahaman asas kepada kanak-kanak. Ini penting kerana kanak-kanak mempunyai akal dan daya ingatan yang sangat tajam. Mereka boleh mengingati setiap pergerakan dalam tempoh singkat,” jelasnya.
Nofal yang membuka kelas silat sejak dua tahun lalu memberitahu pada mulanya dia juga tidak mempunyai keyakinan membuka kelas silat tapi memikirkan setiap pesilat yang memiliki tali pinggang hitam perlu mempunyai gelanggang bagi menguji kemahiran diri menyebabkan dia memberanikan diri mencuba.
“Tambahan pula ketika itu saya menjadi tenaga pengajar di Universiti Pengurusan dan Sains (MSU), Shah Alam, jadi pengalaman dalam bidang pengajaran silat sudah ada. Apabila ada ibu bapa yang meminta menjadi tenaga pengajar, saya terus menerimanya kerana bukan senang mendapat kepercayaan ibu bapa,” katanya yang mengajar pada setiap Sabtu di Dewan Seri Muda Shah Alam dari jam 6 petang hingga 7 malam.
Sepanjang dua tahun menjadi tenaga pengajar silat, Nofal mengakui banyak perubahan pada sikap dan penampilan anak muridnya antaranya lebih berkeyakinan dan berdisiplin terutama dalam apa juga perkara yang mereka lakukan.
Menerusi latihan jurus silat anak akan menjadi lebih terdidik, taat, bersikap positif dan tegas manakala belebat silat pula mendorong individu untuk meningkatkan kemahiran strategi sekali gus melatih sikap mengambil berat, sayang-menyayangi, bertanggungjawab, kreatif dan setia sesama rakan.
“Di samping itu setiap langkah silat akan mengembangkan kemahiran kanak-kanak dan meningkatkan sifat dalaman mereka seperti jujur dan ikhlas dalam melakukan apa juga perkara dalam kehidupan,” katanya.
Menurut Nofal apabila anak memahami semua peringkat dalam latihan silat, mereka akan menjadi lebih berani serta mempunyai rasa ingin tahu mengenai silat. Bagi kanak-kanak apa yang penting bukanlah kemahiran bersilat, tetapi sikap positif dalam diri mereka untuk menjadi pahlawan berhati mulia yang dapat menyumbang sesuatu kepada negara.
Bagi Mohamad Hazamal Sofian, 15, yang menuntut di Sekolah Agama Menengah Tanjung Karang mengakui dia sangat meminati seni mempertahankan diri dan memilih silat kerana ia seni warisan Melayu. Mula menyertai kelas silat pada awal 2010, kini Hazamal sudah mempelajari bunga silat serta silat tempur.
“Pada mulanya agak sukar juga kerana saya langsung tiada pengalaman, namun selepas menghadiri beberapa kelas, minat dalam bidang ini semakin terserlah.
Saya rasakan silat banyak merubah diri saya menjadi lebih berdisiplin dan bertanggungjawab. Tambahan pula ibu bapa memberi galakan kepada saya untuk belajar sehingga ke peringkat paling tinggi,” katanya.
Bagi Noor Afizzuzlie Hussin, 14, dia memilih silat bukan seni mempertahankan diri yang lain kerana teruja dengan budaya dan warisan Melayu yang terdapat dalam silat. Apabila melihat orang dewasa bersilat dia semakin bersemangat untuk mempelajarinya.
Anak sulung daripada tiga beradik ini mengakui pada mulanya agak sukar juga untuk mempelajari setiap langkah dalam silat kerana semuanya mempunyai maksud tertentu.
“Semakin lama saya belajar semakin banyak yang ingin saya ketahui terutama ketika bertempur. Walaupun anggota badan sakit, saya sangat gembira kerana mampu melakukannya,” katanya yang kini mempelajari tahap dua dengan memakai
bengkung biru.
Menurut Noor Afizzuzlie, sepanjang setahun mempelajari silat dia semakin berkeyakinan sama ada dalam kehidupan seharian dan ketika belajar. Selain itu silat menjadikan dia lebih sihat dan cergas kerana menerusi pergerakan dalam silat membuatkan otot bergerak sekali gus senaman yang baik untuk kesihatan badan.
Murid perempuan termuda, Nurul Aqhilla Mohd Sofian, 11, mengakui dia mempelajari silat akibat tidak tahan dibuli rakan sekolah. Jika dia melawan, pelajar lelaki di sekolah semakin mengganggunya. Walaupun cuma gangguan kecil saja, ini mengganggu tumpuannya di kelas.
“Mulanya saya tidak kisah, tetapi jika setiap hari dibuli siapa tidak rimas.
Justeru saya nekad mempelajari seni bela diri sekurang-kurangnya boleh membuatkan mereka takut membuli saya,” katanya.
Selepas mendapat sokongan keluarga Nurul menyertai kelas silat di bawah bimbingan guru silat, Nofal Sandra pada setiap petang Sabtu.
“Alhamdulillah selama setahun belajar banyak keistimewaan silat. Antaranya mendidik saya menjadi lebih berdikari dan berdisiplin. Ini kerana silat melatih saya mengikut pergerakan dalam kumpulan yang sama sekali gus menjadikan diri saya patuh pada arahan. Paling penting selepas mampu mempelajari asas silat saya tidak lagi dibuli rakan,” katanya gembira.
Anak ketiga daripada empat beradik ini akan terus mempelajari silat sehingga
ke peringkat paling tinggi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: