rumah usang

ALOR BAKONG - Sebahagian penduduk di Kampung Tersusun Alor Bakong, di sini, melahirkan rasa kesal apabila empat rumah yang didakwa dibina untuk golongan miskin tegar dibiarkan kosong sejak ia siap dibina enam tahun lalu.

Penyelaras Parlimen Pasir Salak, Abdul Razak Ismail berkata, penduduk memberitahu, keadaan persekitarannya telah ditumbuhi semak samun dan salah sebuah rumah tersebut didakwa menjadi sarang penagih dadah.

Menurutnya, penduduk mendakwa, sebanyak lima unit rumah dibina oleh pihak kementerian di atas sebidang tanah milik kerajaan di kampung itu.

“Pembinaan dikatakan dipantau oleh Pejabat Tanah dan Daerah Hilir Perak sebagai agensi pelaksana projek kerajaan Persekutuan yang kini tidak dihuni oleh penduduk yang layak.

“Bagaimanapun, setelah ia siap, hanya sebuah rumah sahaja yang diduduki dan daripada pemerhatian penduduk, penghuni rumah tersebut dikatakan bukan daripada golongan miskin tegar,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Hadir sama, Ketua Cabang selaku penyelaras Dun Sungai Manik, Osman Abdul Rahman bersama jawatankuasa cabang yang lain.

Abdul Razak berkata, perkara itu terbongkar apabila sukarelawan Parti Keadilan Rakyat Cabang Pasir Salak melakukan lawatan turun padang pada program ‘Sentuhan Rakyat’ ke kampung tersebut.

Katanya, pembinaan ini dilihat sebagai satu pembaziran­ apabila peruntukan bernilai RM117,000 bagi empat rumah, ‘hangus’ begitu sahaja kerana unit-unit rumah itu tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan miskin tegar.

Beliau turut menggesa, agar pihak Pejabat Tanah dan Daerah Hilir Perak mengam­bil tindakan segera untuk membaik pulih rumah-rumah tersebut, seterusnya menyerahkan kepada pemohon yang layak.

Sementara itu, Osman melahirkan rasa kesal dan membidas Kerajaan Negeri kerana tidak mengambil serius dalam memantau projek-projek yang melibatkan rakyat.

Katanya, berdasarkan pemerhatian daripada beberapa siri program turun padang yang lalu, masih ramai penduduk berada di bawah paras kemiskinan tegar.

“Mereka ini sangat memerlukan rumah lebih baik untuk berteduh namun, sebaliknya kejadian rumah-rumah rakyat yang terbiar ini amat mendukacitakan kami,” katanya.