kereta curi

LENGGONG – Tiga lelaki berusia 24 hingga 34 tahun berjaya ditahan kerana disyaki terlibat dalam satu sindiket mencuri kenderaan pacuan empat roda yang digunakan untuk aktiviti pembalakan, di sini, kelmarin.

Kesemua lelaki itu ditangkap secara berasingan dalam satu operasi yang dijalankan oleh Balai Polis Lenggong dan diketuai oleh Inspektor Abdul Hamed Abd Kadir.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Baharum berkata, operasi itu dibuat susulan laporan kehilangan kenderaan pacuan empat roda di Cameron Highland pada 23 November lalu.

Menurutnya, selepas pemantauan dilakukan di sekitar kawasan hutan dan pembalakan di sekitar Lenggong, pihak polis menyerbu beberapa lokasi yang membawa kepada penangkapan tiga lelaki terbabit.

“Pada 5 Disember lalu, kira-kira jam 7.30 pagi pasukan yang diketuai Inspektor Abdul Hamed mengenal pasti beberapa lokasi dan seorang lelaki Melayu berusia 34 tahun ditahan di kawasan perumahan Sumpitan serta sebuah pacuan empat roda dirampas.

“Susulan itu, pihak polis menuju ke kawasan Hutan Simpan air terjun Ibol, Lenggong dan berdasarkan intipan didapati dua lelaki dipercayai adik-beradik sedang membaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda serta bertempiaran lari ketika diserbu,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Abdul Manab berkata, seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan tetapi seorang lagi lelaki berjaya melarikan diri dan kini dalam buruan polis.

"Sementara kenderaan ini turut ditarik ke balai. Lelaki ini mengaku hanya seorang mekanik dan kenderaan itu adalah kepunyaan rakannya.

"Berikutan maklumat diberi, seorang lagi lelaki berusia 24 tahun berjaya ditangkap di Bukit Nangka dan sebuah lagi pacuan empat roda dirampas," katanya.

Menurutnya, dalam masa beberapa jam, pihak polis berjaya menahan tiga lelaki dan merampas tiga kenderaan pacuan empat roda.

"Setelah disiasat kenderaan terbabit masih dilaporkan hilang dan berkait dengan beberapa kes termasuk di Sungai Buloh pada 2007 serta kecurian di Cameron Highland," katanya.

Beliau berkata, dengan penangkapan ketiga-tiga lelaki yang berasal dari Lenggong itu dipercayai dapat mencari dalang sebenar sindiket kecurian kenderaan pacuan empat roda yang digunakan untuk mengangkut kayu balak.

“Rata-rata kenderaan yang dicuri diubah suai 100 peratus untuk digunakan mengangkut kayu balak dan urusan jual beli hanya bernilai RM4,000 hingga RM6,000 sahaja, sedangkan harga sebenar kenderaan hampir mencecah RM100,000.

“Kita percaya dengan tertangkapnya lelaki ini, pihak kami mampu memburu dalang di sebalik kegiatan ini dan ia sudah dikenal pasti serta tindakan selanjutnya masih berjalan," katanya.

Katanya, selain tiga kenderaan dirampas, pihak polis turut merampas dua lagi kenderaan pacuan empat roda yang ditinggalkan di dalam hutan dan dipercayai ada bersangkutan dengan sindiket itu.

“Berdasarkan siasatan, dipercayai sindiket ini sudah beroperasi sejak lima tahun lalu dan kesemua kenderaan dirampas diserahkan kepada daerah yang mengendalikan kes kecurian itu,” katanya.