KUALA LIPIS - Bantuan yang diberikan kerajaan mahu pun pihak swasta menjadikan kemiskinan bukan lagi penghalang untuk mencapai kejayaan dalam bidang pendidikan.
Antara pihak yang terlibat menyalurkan bantuan itu adalah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) menerusi program Empower yang menyasarkan membantu meningkatkan pencapaian akademik pelajar dari keluarga miskin.
Penerima terbaru Empower di bawah Program Anak Harapan ialah keluarga Fauzi Fong Abdullah, 54, dari Kampung Keledek di sini.
Pemilihan Fauzi dibuat memandangkan dia tidak bekerja ekoran kemalangan yang menimpanya dan bergantung harap kepada isterinya, Rohani Salleh, 43 yang bekerja sebagai pembantu kedai.
Keluarga itu hanya bergantung kepada gaji bulanan yang diperoleh Rohani sekitar RM400 hingga RM500 sebulan untuk membesarkan empat anak.
Kehidupan keluarga itu mendapat perhatian apabila salah seorang anaknya, Syafinaz Fauzi Fong, 12, yang dipilih menyertai kelas tuisyen program Kecemerlangan Anak Harapan Empower di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Padang Tengku menunjukkan potensi membanggakan.
Malah, pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang berlangsung baru-baru ini, dia mendapat keputusan 6A.
Melihat kepada kesukaran hidup keluarga Fauzi itu, pengurusan Empower memberikan bantuan berupa meja, alat tulis, buku teks, buku kerja dan latihan dan beg.
Pengurus Empower Lipis, S Sivaganesh berharap dengan bantuan itu dapat meringankan bebanan Fauzi untuk menyediakan keperluan sekolah anak-anaknya tahun depan.
“Pihak kami turut melawat rumah keluarga pelajar terbabit untuk melihat persekitaran keluarga itu,” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan tersebut di rumah Fauzi, di sini, baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: