LORI

TRIANG - Penduduk di ­kawasan perumahan Taman Daro, dekat sini merungut apabila banyak lori menggunakan jalan di taman perumahan itu untuk menurunkan barangan di kedai berdekatan.

Mereka mendakwa, berikutan keadaan itu, jalan menjadi rosak, suasana ber­tukar bising serta mengancam keselamatan penduduk khususnya kanak-kanak.

Seorang penduduk, Tan Chin Teng, 44, berkata, kedudukan sebahagian rumah penduduk di sini terletak ter­lalu berdekatan dengan ­deretan kedai.

Menurutnya, apabila lori berhenti untuk menurunkan barang, jalan itu tidak boleh dilalui oleh mana-mana kenderaan yang lain melainkan motosikal atau basikal sahaja.

“Dahulu, masalah ini tidak pernah berlaku. Sebelum ini, mereka menurunkan barang di hadapan kedai.

“Sejak jalan di bandar ini ditukar kepada jalan sehala, mereka diarahkan menurunkan barang di belakang kedai,” katanya kepada Sinar Harian.

Namun, katanya, memandangkan laluan itu terlalu sempit, keadaan ini seolah-olah tidak sesuai dengan ­suasana di kawasan perumahan kerana mengganggu ketenteraman penduduk.

Sementara itu, Cheng Ling Kian, 48, berkata, se­patutnya di kawasan perumahan, lori melebihi tiga tan ­tidak dibenarkan masuk.

Katanya, keadaan itu menyebabkan jalan di kawasan perumahan ini cepat rosak selain berisiko mengundang kemalangan kepada penduduk.

“Saya rasa, hanya lori ­dengan muatan tertentu ­sahaja dibenarkan melalui jalan di ­kawasan perumahan.

“Pihak berkaitan perlu ­memikirkan alternatif terbaik untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Beliau berkata, walaupun pihak berkuasa tempatan (PBT) mengeluarkan arahan kerja pemunggahan dilakukan di belakang premis masing-masing tetapi masih ada yang melanggar arahan tersebut.

Justeru, Ling Kian men­cadangkan supaya kerja pemunggahan itu dilakukan di ­hadapan premis pada waktu tertentu sahaja iaitu bukan pada waktu kemuncak.