Sunday, December 18, 2011

Muzik cinta kedua Nur Eli Elina


NUR ELI ELINA bukan sahaja handal di dalam sukan gimnastik, malah gadis manis ini berkebolehan bermain organ sejak usianya 12 tahun.


BARANGKALI ramai yang bersetuju dengan mendengar alunan muzik, jiwa dan hati yang sedang berduka dapat ditenangkan.

Begitulah kuatnya pengaruh muzik kepada sesetengah individu ketika menghayati alunan melodi indah daripada instrumen muzik yang dimainkan.

Malah, ada juga yang menjadikan aktiviti bermain muzik sebagai riadah untuk mengisi masa lapang, sekali gus dapat mengurangkan tekanan yang dirasai.

Bagi atlet gimnastik negara, Nur Eli Elina Azmi, bermain instrumen muzik seperti biola mampu memberikannya ketenangan, selain dapat memanfaatkan masa lapangnya dengan aktiviti berfaedah.

Selain bermain biola, Eli Elina juga mahir bermain alat muzik organ sejak berusia 12 tahun dan kebanyakan nota-nota muzik yang sukar juga dapat diterjemahkan menjadi alunan muzik yang menarik.

Ditanya mengapa meminati alatan muzik seperti biola, Eli Elina berkata: "Saya suka mencari kelainan dan biola amat mudah dibawa ke mana-mana berbanding alatan muzik lain yang besar.

"Saya baru sahaja dalam empat bulan belajar bermain biola dengan guru muzik profesional dan ini juga adalah aktiviti sampingan saya sekiranya tiada latihan.

"Buat masa ini, saya masih belum mahir lagi memainkan lagu-lagu yang sukar dengan biola kerana masih baru berbanding bermain organ.

"Sepanjang masa biasanya saya akan menjalani latihan gimnastik di Majlis Sukan Negara (MSN) dan jadual latihan saya juga amat padat," kata Eli Elina.

Pemenang pingat perak Sukan SEA 2011 dalam acara batang titian itu juga mahu cemerlang dalam pelajaran, selain gimnastik.

Eli Elina yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun depan akan berusaha memperoleh keputusan yang baik, selain mengakui pelajaran adalah penting baginya selepas gimnastik.

"Meskipun jadual latihan saya padat, namun saya mempunyai jadual yang sistematik dan perlu mengikut jadual yang telah dibuat.

"Tahun depan mungkin Sukan Malaysia di Pahang akan menjadi tumpuan saya dan saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk Selangor," kata Eli Elina.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: