Sunday, December 18, 2011

Sukarnya nak kekang Maradona


Reduan abdullah


IADA apa yang boleh dilakukan untuk mengekang kehebatan Diego Maradona, dia terlalu lincah, tangkas dan pantas," demikian ujar bekas pemain tengah Selangor dan kebangsaan, Reduan Abdullah, 58, yang pernah berentap dengan Maradona yang disifatkan sebagai jagoan terbaik sepanjang zaman.

Penulis yakin tidak ramai khususnya golongan muda, yang ingat mahu pun tahu menahu akan kunjungan pra-musim Maradona bersama pasukannya, Boca Juniors ke ibu negara untuk bertemu Jemputan Selangor XI pada 1982, hampir tiga dekad lalu.

Kuala Lumpur menjadi destinasi ketiga dalam siri jelajah dunia yang turut merangkumi Los Angeles, Hong Kong, Tokyo, Kobe, Mexico dan Guatemala.

Dilangsungkan pada 12 Januari, Boca Juniors bertandang ke Stadium Merdeka dengan status digeruni iaitu juara Metropolitano, liga Argentina 1981.

"Saya dan rakan-rakan dilanda perasaan bercampur apabila dimaklumkan bahawa kami akan bertemu Boca Juniors dalam satu perlawanan persahabatan.

"Kami berasa girang, tetapi pada masa sama juga bimbang kerana takut dibelasah dengan jumlah jaringan besar, maklumlah Argentina ialah pemenang Piala Dunia 1978.

"Kami semua tidak sabar menanti-nantikan perlawanan tersebut, kami ingin lihat sejauh mana kehebatan corak permainan Amerika Selatan," kata Reduan yang menyarung jersi No.6 untuk Gergasi Merah Kuning di antara tahun 1972-1986.

Bagi menghadapi ujian getir itu, Jemputan Selangor diperkuatkan dengan kehadiran dua penyerang handalan negara jiran, Fandi Ahmad (Singapura) dan Piyapong Pue-on (Thailand) serta bekas tonggak pertahanan, Soh Chin Aun dari Melaka.

"Fandi dan Piyapong digandingkan bersama arwah Mokhtar (Dahari) dalam rangkaian tiga penyerang untuk menggempur kubu Boca, sementara 'Tauke' pula dijemput kembali berpasangan dengan Santokh Singh di pertahanan tengah mengemudi benteng pertahanan bersama mendiang R.Arumugam," imbas Reduan.

Apabila hari penentuan tiba, Reduan bertekad untuk memberikan persembahan terbaik ketika berdepan Maradona dan Boca.

"Matlamat kami ialah memastikan Boca tidak menang besar dan pada masa sama kami mahu tunjukkan bahawa pemain Malaysia dan rantau Asia Tenggara juga tidak kurang hebatnya.


Tinggal kenangan... Reduan Abdullah (duduk, kanan sekali) bergambar bersama skuad bola sepak Selangor, turut kelihatan Allahyarham Mokhtar Dahari (tiga dari kanan).


"Sebaik turun ke padang, rasa gemuruh hilang digantikan dengan keyakinan," jelas Reduan.

Meskipun dikejutkan dengan jaringan Fandi seawal minit keempat, Boca kembali menguasai permainan sebelum Carlos Cordoba menyamakan kedudukan pada minit ke-19.

"Hampir kesemua pemain Boca mempunyai susuk tubuh agak tegap, kecuali Maradona, itu pun Maradona sungguh stabil ketika memegang bola, kami langsung tidak berpeluang merampas bola dari kakinya.

"Saya ada cuba menerjah, namun gagal menjatuhkannya. Tidak seperti corak permainan Eropah yang menerapkan hantaran jauh, Boca mempamerkan hantaran pendek dan penguasaan bola.

"Apabila kami cuba menyerang, barisan pertahanan Boca bertahan secara 'compact' dan mendalam, adalah sukar kami melakukan sebarang gerakan bahaya," katanya.

Memasuki minit ke-60, Boca akhirnya memecah kebuntuan apabila Maradona melepasi perangkap ofsaid sebelum dengan lincahnya memperdaya Arumugam dan mudah menolak masuk untuk gol kemenangan Boca.

"Saya merasakan diri amat bertuah dilahirkan dalam era tersebut. Saya pernah beraksi menentang Coventry, Tottenham dan England B, namun aksi 90 minit berdepan Boca dan Maradona adalah detik paling istimewa dalam karier saya.

"Jarang sekali kita dapat bermain dengan kelab terkemuka Amerika Selatan seperti Boca, saya sangat menghargai saat-saat itu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: