
SUBANG 16 Dis. - Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diseru memanfaatkan opsyen penstrukturan semula gaji kakitangan awam melalui skim Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi menjadikan ketumbukan tersebut sebuah organisasi yang cemerlang.
Panglima Tentera Udara, Tan Sri Rodzali Daud berkata, ini kerana SBPA digubal dengan matlamat mentransformasikan perkhidmatan awam supaya menjadi organisasi yang lebih dinamik, responsif dan berorientasikan prestasi.
"Skim ini berpaksikan kepimpinan dinamik, perkhidmatan awam yang kukuh, perkhidmatan yang fleksibel, modal insan berkualiti dan saraan yang kompetitif.
"Justeru, saya mengharapkan seluruh warga TUDM akan memanfaatkan penghargaan kerajaan ini untuk meningkatkan lagi prestasi masing-masing yang secara langsung menjadikan TUDM cemerlang," katanya pada majlis Pemeriksaan Tahunan di Pangkalan TUDM Subang di sini, hari ini.
Sementara itu pada majlis Penyampaian Anugerah dan Pemakaian Sayap Kuatermaster Udara, beliau berkata, anugerah berprestij tersebut merupakan insentif TUDM kepada warganya yang memiliki kualiti kepimpinan, tahap kemahiran dan kecekapan yang tinggi dalam melaksanakan tugas-tugas mereka.
"Sebagai Airman of the Year, mereka wajar dijadikan pemangkin kepada seluruh warga untuk terus bersaing bagi mencapai prestasi tertinggi yang secara langsung akan menyumbang kepada pembangunan modal insan TUDM.
Sementara itu, salah seorang anggota Pasukan Khas Udara (Paskau) yang berjaya membebaskan sebuah kapal tangki Malaysia bersama 23 anak kapal selepas ia dirampas lanun Somalia di Teluk Aden, Januari lalu menerima pengiktirafan 'Airman Of The Year.'
Sarjan Udara Mohamad Lockman Abdul Jabar, 32, menerima pengiktirafan tersebut bersama dua lagi anggota lain-lain pangkat (LLP) iaitu Pegawai Waran Dua Udara Azmi Bakar, 41, dan Korporal Udara Norasfiszal Sabran, 29.
Mohamad Lockman ketika ditemui berkata, pengiktirafan yang diperkenalkan tahun lepas itu sangat bermakna kepada dirinya dan menjadi pembakar semangat beliau untuk menghasilkan kualiti kerja terbaik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: