KUALA LUMPUR: Penyanyi yang popular dengan lagu What You Waiting For, Mizz Nina memberitahu akan menjelajah ke Amerika Syarikat (AS) untuk mempromosikan albumnya di negara itu bermula Januari ini.
Mizz Nina berkata, dia begitu teruja untuk mengunjungi AS kerana bakal mempromosikan lagu terbarunya bersama Flo Rida berjudul Take Over dan albumnya di pelbagai lokasi terpilih.
"Ia adalah satu permulaan yang baik untuk tahun 2012 kerana saya berpeluang menjelajah di Amerika Syarikat bagi memperkenalkan diri dan muzik saya kepada masyarakat di sana.
"Walaupun tidak tahu bagaimana respons yang bakal diterima, saya yakin mereka akan dapat menerima muzik yang ingin saya perkenalkan kepada mereka," ujarnya ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Ambang 2012 di sini, Rabu.
Dalam pada itu, Mizz Nina berkata, jadualnya telah disusun termasuklah mengadakan temu bual di televisyen dan radio selain persembahan untuk peminat.
Ujarnya, dia teruja dengan semua peluang yang diberikan itu dan akan menggunakan sebaik-baiknya dalam mempromosikan diri dan muzik yang bakal dibawa.
"Kita tidak tahu apa akan jadi di sana nanti tetapi yang penting saya telah berusaha untuk melebarkan sayap ke Amerika Syarikat," katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai perancangan berkeluarga pada tahun hadapan, Mizz Nina berkata, dia tidak mahu terburu-buru untuk mendapatkan cahaya mata kerana dirinya dan suami, Noh Salleh ingin menumpukan perhatian kepada kerjaya terlebih dahulu.
Tambahnya, tahun 2012 adalah tahun sibuk buat mereka berdua bagi memperkukuhkan kerjaya seni untuk masa hadapan.
"Bukan tidak mahu anak tetapi ingin memberikan tumpuan kepada kerjaya terlebih dahulu namun saya tidak menolak jika diberikan rezeki oleh Allah," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Mizz Nina berkata dia akan terlibat dalam Konsert Ambang 2012 yang akan berlangsung di Dataran Merdeka pada 31 Disember ini di samping artis seperti Jamal Abdillah, Datuk M.Nasir, Awie dan Faizal Tahir.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: