KUALA LUMPUR: Program realiti popular Raja Lawak musim keenam dengan format baru memperkenalkan penerbit dan pelakon popular, Ahmad Idham Nadzri sebagai Cif Besar.
Manakala tiga bekas peserta Raja Lawak iaitu Yus, Angah dan Taukeh sebagai Cif Kecik. Kesemua mereka diberi peranan untuk membantu peserta menghasilkan lawak yang berkualiti setiap minggu.
Menurut Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani, pembaharuan yang dibuat untuk musim terbaru ini adalah bagi memantapkan persembahan para peserta ketika di gelanggang Raja Lawak.
"Kita telah memilih Ahmad Idham sebagai untuk memainkan peranannya sebagai Cif Besar, manakala Cif Kecik terdiri daripada Angah, Yus dan Taukeh bagi membantu persembahan peserta.
"Mereka akan membantu dalam memberi idea kepada peserta supaya menjadi lebih baik dan berkongsi pengalaman yang ada," katanya pada sidang media, majlis pelancaran Raja Lawak musim keenam, di sini, Rabu.
Dalam pada itu, 12 peserta yang bakal memberi saingan di pentas Raja Lawak 6 ini turut diperkenalkan iaitu Kumpulan Zero, Skema, Cuit, 2yol, Gman, Albob, Shiro, Riki, Selak, Ketupat, King dan seorang peserta solo, Kudan.
Tambahnya, kesemua peserta akan ditempatkan di tiga buah lokasi dan menerima latihan serta bimbingan profesional daripada pengkritik jemputan pada setiap minggu sebagai persediaan sebelum membuat persembahan mingguan secara langsung.
Sementara itu, tiga orang pengkritik tetap akan bertanggungjawab menilai persembahan para peserta.
"Tiga orang juri tetap akan diumumkan pada minggu pertama. Mereka terdiri dari orang dalam industri komedi juga dan mereka akan menilai berdasarkan kelucuan dan elemen jenaka setiap persembahan, " katanya.
Bagaimanapun nasib peserta akan ditentukan sepenuhnya berdasarkan sistem pemarkahan 100 peratus undian penonton melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
Raja Lawak musim ini turut dikendalikan dua pengacara popular iaitu Johan dan Zizan
Ia akan disiarkan secara langsung setiap Jumaat, pukul 10 malam bermula 13 Januari di saluran Astro Warna.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: