KUALA LUMPUR: Pelakon remaja, Elfira Loy mengakui gementar apabila pertama kali membawakan watak romantik dalam telefilem terbarunya Biar Mimpi Sampai Ke Bintang.
Elfira, 17, berkata, dia gugup kerana sebelum ini lebih banyak membawakan watak-watak pelajar sekolah atau remaja dan menganggap ia adalah satu cabaran besar buat dirinya.
"Saya gementar apabila mendapat tawaran tersebut daripada Michael Ang dan lebih mencemaskan apabila bergandingan dengan Randid.
"Bagaimanapun saya teruja kerana belum pernah membawa watak romantik dan saya menerimanya sebagai satu cabaran sebagai seorang pelakon," ujarnya ketika ditemui pada pelancaran telefilem berkenaan di sini.
Dalam pada itu, Elfira berkata, tidak sukar bekerja dengan pelakon yang popular menerusi drama bersiri “Nada Cinta” itu dan menyifatkan Randid sebagai seorang yang mesra dan mudah bekerjasama.
Ujarnya, walaupun telah mempunyai banyak pengalaman berlakon di Indonesia tetapi Randid sangat merendah diri.
"Walaupun pada mulanya saya berasa sedikit kekok tetapi keramahan dan sifat merendah dirinya membuatkan saya selesa berlakon dengannya tanpa sebarang masalah," ujarnya.
Sementara itu, Elfira berkata, dia tidak mahu mempedulikan kata-kata nakal yang menjentik dirinya di laman Twitter dan Facebook ekoran ada pihak tidak berpuas hati apabila dia bergandingan dengan Randid.
Katanya, dia hanya menganggap kata-kata tidak puas hati yang dilemparkan terhadapnya sebagai tanda kehadirannya untuk menjadi seorang pelakon disedari oleh masyarakat.
"Saya memandang positif terhadap apa-apa juga perkara negatif yang diperkatakan mengenai saya dan tidak akan mengambil serius mengenai rasa kurang senang peminat Randid terhadap saya," ujarnya.
Selain Elfira dan Randid, telefilem Biar Mimpi sampai Ke Bintang turut dilakonkan oleh Sharifah Shahora dan Didie Alias. Ia bakal ditayangkan pada Khamis, 22 Disember pada pukul 9 malam di saluran Astro Ria.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: