PETALING JAYA: Dewan Bahasa dan Pustaka (DPB) akan menganjurkan Festival Monodrama pada 12 dan 13 Disember ini bertempat di Panggung Lambang Sari, Istana Budaya.
Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Sallehuddin Abang Shokeran berkata festival tersebut bertujuan mengalakkan penghasilan monodrama yang tidak dikembangkan kepada khalayak masyarakat.
"Kita mahu masyarakat tahu tentang kewujudan monodrama dan mencetuskan minat mereka untuk datang dan memahami monodrama ini sebagai satu bentuk teater.
"Selain itu kita dapat menyemarakkan lagi kegiatan teater tanah air melalui bentuk persembahan yang ringkas dan berkos rendah tetapi memberi impak besar dari segi apresiasi penonton terhadap kekuatan naskah dan lakonan," ujarnya pada sidang media Festival Monodrama, di sini, Rabu.
Selain itu, kerjasama antara DBP, Istana Budaya dan CTRA Production turut membariskan pelakon terkenal seperti Norish Kraman, Misha Omar dan Jasmin Hamid sebagai artis undangan.
"Tiga orang artis akan membuat persembahan monolog selama 15 minit sepanjang dua hari festival berlangsung yang akan diarahkan oleh pengarah teater terkenal Rosminah Tahir.
"Pemilihan ketiga-tiga artis ini adalah berdasarkan bakat, pengalaman dalam lakonan teater dan jadual terhadap persembahan ini." katanya.
Dalam pada itu, pengisian lain turut disajikan ialah persembahan monodrama daripada lapan pelakon teater amatur.
Tiket persembahan berharga RM10 dan RM20 boleh didapati di kaunter tiket Istana Budaya mulai hari ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: