Thursday, December 8, 2011

Sara Ali Tidak Kisah Tumpang Populariti Shaheizy Sam, Syafie Naswip

Sara Ali menggalas watak mangsa pemerdagangan haram dalam filem terbaru, Songlap.

PETALING JAYA: Pelakon Sara Ali, 21, mengakui tidak ambil peduli dengan pandangan segelintir pihak yang melabelnya sebagai menumpang populariti dua pelakon filem Songlap iaitu Shaheizy Sam dan Syafie Naswip untuk lebih dikenali selepas ini.

Sara sebaliknya menyifatkan dirinya cukup bertuah kerana mendapat peluang tersebut yang boleh menjadi platform terbaik bagi pelakon baru sepertinya.

“Sejujurnya, saya tidak kisah atau peduli pun jika ada yang menganggap saya menumpang populariti Shaheizy Sam dan Syafie Naswip apabila terlibat dalam filem Songlap.

“Peluang ini adalah pintu atau platform yang baik. Saya begitu bertuah kerana mendapat kepercayaan ini,” katanya yang ditemui selepas pra-tonton filem berkenaan, GSC One Utama, di sini, Rabu.

Tambah Sara, peluang beraksi di samping dua aktor itu adalah satu tarikan yang baik kepada peminat filem Melayu memandangkan kedua-duanya sudah membuktikan kredibiliti masing-masing menerusi kerja mereka.

Justeru itu, Sara berkata, dia tidak melihat isu menumpang populariti itu sebagai satu masalah atau perkara yang menjejaskan reputasi.

“Jelas sekali, mereka berdua lebih berpengalaman dan pelakon yang berkarisma. Mereka punya peminat dan tarikan yang kuat terhadap filem ini.

“Apabila penonton menyaksikan filem ini, orang yang belum mengenali saya pasti akan tertanya-tanya siapakah gadis yang melakonkan watak Hawa ini.

“Jadi apa salahnya saya menumpang populariti itu jika ia membolehkan penonton melihat bakat saya juga,” katanya.

Syafie Naswip (kiri) dan Shaheizy Sam sebagai adik beradik Ad dan Am.

Filem bergenre aksi drama itu diarahkan oleh pasangan suami isteri Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Ishak yang pernah menghasilkan filem Kami The Movie sebelum ini.

Songlap memaparkan kisah kehidupan dua beradik iaitu Am lakonan Shaheizy Sam dan Ad (Syafie Naswip) yang terlibat dalam sindiket penjualan bayi.

Kehadiran salah seorang mangsa pemerdagangan haram, Hawa (Sara Ali) telah mengubah segalanya. Ad nekad untuk meninggalkan aktiviti yang menjadi punca rezekinya selama ini dan cuba meyakinkan Am untuk keluar daripada kehidupan hitam itu.

Selain Sara, Shaheizy dan Syafie, filem itu turut membariskan Omar Abdullah, Rozie Rashid, Normah Damanhuri, Fauzi Nawawi dan Lisdawati.

Ia bakal ditayangkan di 77 pawagam seluruh Malaysia dan Brunei bermula 15 Disember ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: