Thursday, December 8, 2011

Alleycats Kembali Ke Singapura Selepas 35 Tahun

David Arumugam bersama Pengarah Konsultan RAISTAR Entertainment, Fahmi Rais ketika sidang media Alleycats Istimewa Buat Singapura di sini, Rabu.

PETALING JAYA: Kumpulan lagenda, Alleycats bakal beraksi di sebuah konsert istimewa buat peminat di Singapura selepas kali terakhir mengadakan konsert secara besar-besaran 35 tahun lalu.

Penyanyi utama kumpulan itu, Datuk David Arumugam berkata, konsert yang bakal diadakan di Dewan Konsert, Esplanade Singapura pada 14 April tahun hadapan adalah peluang dinanti-nantikan olehnya kerana sudah lama tidak beraksi di negara itu.

"Bayangkan kali terakhir saya mengadakan konsert besar-besaran adalah pada tahun 1976 iaitu kira-kira 35 tahun lalu di National Theater malah bangunan itu juga sudah tiada kini.

"Walaupun sering berkunjung ke Singapura untuk mengadakan persembahan di kelab dan tempat terbuka tetapi konsert kedua ini sungguh istimewa," ujarnya.

David ditemui pada sidang media Alleycats Istimewa Buat Singapura di pejabat Universal Music di sini, Rabu.

Dalam pada itu, David berkata dia bakal mengadakan persembahan selama dua jam dan akan menyampaikan lebih 20 buah lagu pada persembahan itu nanti seperti Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi, Hingga Akhir Nanti, Nota Terakhir dan sebagainya.

Ujarnya, dia juga tidak menolak jika peminat akan memintanya menyanyikan lagu yang tiada di dalam senarai pada konsert itu nanti.

"Tiada masalah saya boleh menyanyikan beberapa lagu yang diminta pada konsert itu nanti," katanya.

Sementara itu, Pengarah Konsultan RAISTAR Entertainment, Fahmi Rais berkata, pihaknya berbesar hati dapat membawa Alleycats ke Singapura kerana kumpulan itu mempunyai ramai peminat.

Fahmi berkata, melalui satu tinjauan yang dilakukan, rata-rata ingin melihat Alleycats beraksi di Singapura dan hasrat tersebut tercapai.

"Alleycats adalah sebuah kumpulan lagenda dan sudah tentu ramai yang menantikan persembahan mereka di sana nanti.

"Persembahan yang akan diadakan di Esplanade itu juga adalah satu pengiktirafan buat kumpulan tersebut kerana pihak pengurusan itu tidak sewenang-wenangnya membenarkan mana-mana artis membuat persembahan di situ melainkan mereka benar-benar mempunyai pengaruh kuat," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: