Wednesday, December 28, 2011

Mingguan mStar Tetap Menjadi Kenangan

Edisi 13 November 2011.

HAKIKATNYA, akhbar Mingguan mStar yang berusia hampir dua tahun ini akan melabuhkan tirainya dan hari ini merupakan penerbitan yang terakhir.

Walaupun akhbar mingguan yang diterbitkan bersama Sunday Star tidak lagi berada di pasaran selepas ini namun versi dalam taliannya (online) terus menemui pembaca.

Perubahan dan tuntutan kepada dunia digital memungkinkan akhbar Mingguan mStar harus melalui perubahan itu untuk kelangsungan generasi akan datang yang lebih terarah kepada dunia teknologi.

Pelbagai kenangan manis sejak penerbitan akhbar ini dan ia menjadi kenangan terindah buat Kumpulan Star Publications kerana mencuba kelainan dalam menghasilkan sebuah akhbar berbahasa Malaysia.

Untuk penerbitan terakhir ini, kami mengimbas saat-saat manis Mingguan mStar sejak kelahiran pertamanya pada 28 Februari 2010.

PersonalitiBermula edisi pertamanya, Mingguan mStar memaparkan secara eksklusif wajah pengganas bernama Hambali yang pernah menyembunyikan diri di negara ini dan ditahan di kem tahanan Teluk Guantanamo di Cuba.

Mingguan mStar menjejaki keluarganya sehingga ke Cianjur, Jawa Barat.

Hambali - antara orang penting dalam rangkaian al-Qaeda dan Osama bin Laden yang dikaitkan dengan pengeboman Bali dan serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia di New York.

Sultan era milenium.

Edisi kedua pula adalah liputan mengenai Sultan Ibrahim Ismail yang ketika itu baru sahaja ditabalkan sebagai Sultan Johor dan keterbukaannya mempamerkan sisi baginda sebagai seorang raja dalam era milenium.

Kemunculan pertama Norashman Razak Mohd Najib dalam edisi 18 Julai 2010 memaparkan sisi santai anak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bagaimana beliau menyambung legasi ayah dan datuknya, Perdana Menteri Malaysia kedua Allahyarham Tun Razak Hussein dari segi jalinan hubungan dengan negara China.

Temuramah eksklusif bersama Norashman Najib.

Sebelum ini, ramai tidak menyedari kehadiran pelakon Shaheizy Sam sama ada di kaca televisyen mahu pun di layar perak.

Namun sejak setiap filem lakonannya mendapat kutipan pecah panggung, beliau terus dijulang sebagai pelakon paling popular. Mingguan mStar mendekatinya secara eksklusif bagi edisi 6 Februari 2011.

Fenomena Shaheizy Sam.

Kedua-dua individu ini pula bukanlah selebriti apatah lagi ahli politik namun beberapa kontroversi yang melanda Jabatan Imigresen menghangatkan nama bekas ketua pengarahnya, Datuk Abdul Rahman Othman di mana ‘kerusi panas’ itu kini diduduki ketua pengarah baru, Datuk Alias Ahmad.

Edisi 17 Oktober 2010 mempertemukan mereka berdua bagi memperjelaskan situasi sebenar dan hala tuju Jabatan Imigresen.

Eksklusif Edisi 30 Mei 2010 mendedahkan wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak cukup untuk menampung pencen pesara sekiranya mereka hanya bergantung kepada simpanan itu semata-mata.

Ini berikutan jangka hayat rakyat Malaysia adalah 74.4 tahun - satu tempoh amat panjang selepas persaraan pada usia 55 tahun.

Bagi mencapai keselesaan semasa bersara, kita memerlukan sekurang-kurangnya simpanan sebanyak RM1 juta namun berapa ramai yang boleh mencapai simpanan itu?

‘Kenapa mereka ditahan?’ (22 Ogos 2010) melaporkan tentang ‘Holding Lounge’ sebuah bilik kaca - menempatkan warga asing yang tidak dibenarkan melepasi pintu masuk utama negara.

Mereka bukan pendatang asing tanpa izin (Pati) tetapi gagal mematuhi syarat kemasukan ke negara ini dan perlu dihantar pulang serta-merta.

Ramai tidak menyedari industri tuisyen di Malaysia bernilai jutaan ringgit namun itulah hakikatnya.

Edisi 9 Januari 2011 mendedahkan jika separuh daripada hampir 3,000 pusat tuisyen di negara ini berskala besar, nilai industri boleh mencecah lebih RM1 bilion ditambah dengan potensi semakin ramai pelajar mengikuti kelas tuisyen.

Isu rakyat Malaysia menjadi mangsa keldai dadah sering mendapat liputan media.

Namun edisi 16 Oktober 2011 menyiarkan bahawa golongan itu adalah sebahagian kecil daripada hampir 2,000 rakyat Malaysia di penjara luar negara.

Satu jumlah besar namun yang membimbangkan sebenarnya adalah lebih ramai orang kita dianiaya.

SegarBanyak lagi laporan dan berita secara eksklusif disiarkan di Mingguan mStar sama ada sebagai cerita muka depan atau segmen-segmen dalaman.

Segmen hiburan OopsStarz! turut melaporkan berita sensasi dan eksklusif secara berterusan.

OopsStarz! memberi nafas baru dan berbeza dalam bentuk laporan hiburan lebih segar.

Penutupan Mingguan mStar hari ini bukan satu penamat tetapi sebenarnya memperlihatkan konsep baru persuratkhabaran pernah direalisasikan di negara ini.

Pencapaian akhbar mingguan ini juga harus dibanggakan kerana ia rentetan daripada portal yang ditubuhkan pada tahun 2005.

Media kebiasaannya mentransformasikan mediumnya dari cetak ke portal namun Mingguan mStar adalah sebaliknya.

Bagaimanapun ruangan-ruangan popular di Mingguan mStar tidak akan berkubur begitu sahaja kerana ia akan menemui pembaca di mStar Online pada tahun hadapan.

Antaranya ialah Seni Menjamu Selera, Ringkas Padat dan Peribadi, Diari Pengembara, Permotoran, Personaliti Sukan.

Begitu juga beberapa ruangan hiburan dalam OopsStarz!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: