Wednesday, December 28, 2011

Grafiti Indahkan Kuala Lumpur

PROVOKASI, propaganda dan elemen ganas merupakan gambaran tipikal segelintir masyarakat terhadap grafiti.

Sentimen tersebut menyebabkan pelukis grafiti dan pengikutnya dipinggirkan meskipun hakikatnya seni urban itu mempunyai nilai estetika yang tinggi.

Bagaimanapun, ia bukan penghalang buat anak kelahiran Batu Pahat, Mohd Nazri Amran atau nama panggilan Bee, 28, yang membesar dengan pengaruh grafiti.

Nazri menunjukkan antara pencapaian kumpulannya apabila mendapat pengiktirafan 'Lukisan Grafiti Terpanjang' oleh Malaysia Book of Record.

“Kami mahu membuat grafiti yang cantik tetapi aktiviti ini masih dianggap sebahagian daripada vandalisme kerana melibatkan harta awam atau persendirian.

“Budaya grafiti masih baru di Malaysia menyebabkan sesetengah pihak sukar menerima kehadiran kami malah mengaitkannya dengan gejala sosial.

“Ini bukan soal vandalisme kerana kepuasan ini sebenarnya dapat mengindahkan dan mewarnai Kuala Lumpur,” katanya kepada Mingguan mStar, baru-baru ini.

Nazri berkata, antara isu grafiti adalah ketiadaan tempat untuk pelukis berkarya sedangkan mereka mahu ia menarik perhatian atau mudah dilihat oleh orang ramai.

“Maka tidak hairanlah terdapat grafiti di luar negara menggunakan pendekatan pergerakan pantas dengan melukisnya pada kenderaan seperti kereta api,” katanya.

Grafiti yang berunsurkan karakter atau potret menarik perhatian orang ramai.

Nazri merupakan Pengarah Kreatif District, sebuah syarikat yang menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti rekaan grafiti, fotografi dan menjual pakaian jalanan.

Beliau juga mempunyai kumpulan grafiti PHBKLK dengan panggilan ‘tag’ grafiti Phobia yang turut disertai oleh Hafiz-Katun, Alfie-Bone, Iskandar-Siek, Aswad-Carpet, Shahqir-Kay, Ridwan-Dwane2, Saufi-Sopey, Saiful-Budean dan Naez-Datom.

Sebahagian daripada ahli Kumpulan PHBKLK sedang berbincang mengenai lakaran untuk projek grafiti.

Peluang perniagaan

Menurut Nazri, grafiti boleh disempurnakan dalam setengah hari namun bagi grafiti bersaiz besar atau memerlukan penelitian boleh menjangkau beberapa hari.

“Cabaran sebenar adalah tenik mengawal semburan dan melakukan kesilapan adalah perkara biasa namun boleh diperbaiki tanpa menjejaskan keseluruhan grafiti.

“Sama ada untuk membuat lakaran terlebih dahulu atau tidak, ia bergantung pada kreativiti seseorang pelukis itu atau melakukannya secara spontan,” katanya.

Nazri berkata, grafiti bukan semata-mata menjadi platform untuk meluahkan perasaan atau mendapatkan kepuasan menerusi hasil seni mereka.

Selain memberi perkhidmatan rekaan grafiti, District turut membekalkan kelengkapan seni urban itu.

“Grafiti terbahagi kepada dua iaitu mendapat kepuasan dan boleh dijadikan sebagai peluang perniagaan. Masyarakat jangan melihat grafiti sebagai sesuatu yang sia-sia.

“Ini kerana kami turut menjana pendapatan berdasarkan tempahan membuat rekaan grafiti yang diterima malah melakukannya demi kebajikan,” katanya.

Bagaimanapun bukan semua kumpulan grafiti mempunyai haluan yang sama kerana ada yang melukis tanpa berpandukan kreativiti sehingga mencacatkan pemandangan.

Ini katanya, menyebabkan persepsi masyarakat terhadap grafiti sebagai ‘tangan-tangan nakal dan kotor’ yang suka menconteng dinding tanpa hala tuju.

“PHBKLK tidak mahu menjadikan Kuala Lumpur seperti New York di Amerika Syarikat yang mempunyai terlalu banyak grafiti haram dan imej keterlaluan.

“Matlamat kami adalah mendapat kepuasan secara positif berdasarkan kreativiti namun pada masa yang sama mengindahkan persekitaran ibu negara,” katanya.

Ubah persepsi

Penglibatan dalam festival seni urban KUL SIGN 2011 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedikit-sebanyak mengubah persepsi masyarakat terhadap grafiti.

Nazri berkata, DBKL memberi sokongan dari segi ruang untuk melukis grafiti manakala kami turut berkongsi idea bagaimana memantapkan budaya grafiti di negara ini.

“Tidak semestinya memerlukan bangunan baru untuk melukis grafiti tetapi dicadangkan penyediaan tempat tumpuan khusus bagi komuniti ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Sukan DBKL, Tuan Idzawi Raja Ismail pula berkata, DBKL melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan pembangunan seiring dengan pemodenan bandar raya.

“Penganjuran KUL SIGN 2011 dilihat sebagai satu usaha untuk menangani gejala vandalisme namun tidak meminggirkan komuniti pelukis grafiti.

“Diakui bahawa grafiti itu adalah seni urban yang unik namun perlu dimanfaatkannya di kawasan yang dibenarkan tanpa memberi gangguan kepada orang awam,” katanya.

Pada masa ini, Sungai Klang merupakan lokasi paling ideal untuk aktiviti grafiti.

Tuan Idzawi berkata, DBKL dari semasa ke semasa mengadakan pemeriksaan dengan memadam grafiti di ibu negara dan mengalihkan tumpuannya ke satu tempat khusus yang bersesuaian

“Pada masa ini, kami menjadikan tembok di sepanjang Sungai Klang sebagai tempat paling sesuai untuk aktiviti grafiti dan penggantian dilakukan secara berkala.

“Budaya grafiti masih baru di negara ini namun kesannya mampu mengindahkan Kuala Lumpur sekiranya ia dilakukan pada landasan yang betul,” katanya.

Beberapa pelukis grafiti sedang menyiapkan hasil seni mereka di tepi Sungai Klang.

Festival KUL SIGN 2011 yang sepatutnya dijadualkan pada 17 dan 18 Disember lalu terpaksa ditangguhkan berikutan cuaca tidak menentu dengan kenaikan paras air Sungai Klang.

Tarikh baru bagi penganjuran tersebut akan diumumkan kelak.

1 comment:

  1. kalau saye berminat untuk belajar tentang grafitti nie. .?? saye amat berminat...... sgt2. . . tpi xde peluang tok mencube. .

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: