Wednesday, December 28, 2011

Jamu Mak Dara Kukuhkan Pasaran 2012

SEIRING dengan kejayaannya sebagai sebuah syarikat pengeluar produk berasaskan jamu terkenal di negara ini, Jamu Mak Dara Sdn Bhd mempersiapkan usaha dalam mendepani persaingan selain mengukuhkan produk keluaran syarikat tersebut.

Ia disebabkan permintaan terhadap barangan keluaran syarikat itu yang kian mendadak tidak tertumpu kepada jamu semata-mata sebaliknya penjagaan kesihatan serta bahan berasaskan makanan lain.

Pengarah Urusan Jamu Mak Dara Sdn. Bhd. SM Gadaffi Syed Ali bersama produk keluaran syarikatnya.

Pengarah Urusan Jamu Mak Dara (JMD) Sdn Bhd, SM Gadaffi Syed Ali ataupun lebih dikenali sebagai Habib melihat dia perlu melakukan usaha gigih untuk memperkukuhkan produk dengan mempelbagaikan pengeluarannya bermula pada tahun 2012.

Tahun 2011 yang bakal melabuhkan tirainya beberapa hari sahaja lagi telah memberi inspirasi kuat buat Habib selepas melihat kepada kejayaan produk keluaran syarikatnya pada tahun ini.

Dengan adanya lebih 21 produk, beliau yakin 2012 yang bakal tiba mampu memberi idea buatnya dalam menghasilkan lain-lain bisnes untuk kejayaan dan kecemerlangan syarikat JMD.

Mengimbas kenangan enam tahun lalu, menurut Habib dia sendiri tidak menyangka dengan bermodalkan RM500 yang dipinjam daripada seorang teman, JMD kini mampu menjadi sebuah syarikat kukuk setanding dengan pengeluar barangan yang sama oleh syarikat lain.

Menyedari persaingannya semakin sengit maka Habib berkata adalah wajar JMD perlu memperluaskan produk keluaran syarikatnya termasuklah memasang pelbagai strategi dalam usaha menarik perhatian orang ramai.

“Saya menyedari apabila syarikat kita menampakkan hasil, akan wujudlah persaingan yang sihat atau pun tidak.

“Saya mengambil perkara itu secara positif dan senantiasa memasang strategi untuk menjadikan produk keluaran Jamu Mak Dara ini sentiasa menjadi barangan nombor satu kepada pelanggan.

“Sebab itulah saya mementingkan kualiti terutama sekali daripada segi kandungan jamu dan rempah ratusnya agar pengguna sentiasa berpuas hati dan tidak merungut dengan keberkesanannya,” ujar Habib.

Pembungkusan semula

Menurut usahawan hebat ini, langkah permulaan yang hendak dilakukannya bermula pada tahun 2012 ialah pengenalan paket terbaru atau pembungkusan semula (repackaging) untuk empat barangan penting.

Ia terdiri daripada produk untuk wanita berusia 25 tahun ke atas iaitu Jamu Mak Dara Gold, Jamu Almira (wanita bawah 25 tahun) dan Jamu Vigor (untuk lelaki).

Katanya, perubahan pada kotak ketiga-tiga jamu itu adalah untuk menghasilkan daya minat yang lebih mendalam kepada mereka yang amat mementingkan kesihatan melalui herba tradisional ini.

Langkah itu dibuat kerana permintaan terhadap ketiga-tiga produk berkenaan menunjukkan sambutan luar biasa sepanjang tahun ini.

Set bersalin Ibu Halimah keluaran Jamu Mak Dara.

Kata Habib, produk Jamu Mak Dara Gold menunjukkan peningkatan sebanyak 80 peratus diikuti dengan Jamu Vigor (30 peratus) dan Jamu Almira (20 peratus).

“Saya menaruh keyakinan pada tahun hadapan, kesemua produk tersebut akan terus menujukan prestasi cemerlang termasuklah beberapa produk penjagaan kulit serta makanan lain yang dikeluarkan oleh JMD,” ujarnya.

Set penjagaan kulit

Selain pembungkusan semula itu, JMD akan mempergiatkan usaha untuk mempromosikan 11 rangkaian set kecantikan 9 Dara. Ia meliputi pencuci muka, pelembap, krim jerawat, serum kulit, krim siang, krim malam dan pelindung matahari.

Ia termasuk juga barangan penjagaan rambut seperti syampu, perapi, serum dan tonik.Kata Habib, produk yang baru diperkenankan pada tahun ini masih lagi baru dan ia perlu melalui proses promosi yang kuat untuk bersaing dengan produk lain yang lebih kukuh di pasaran.

Ujarnya, dengan kejayaan produk berasaskan jamu keluaran JMD selama ini, pihaknya menaruh keyakinan besar barangan penjagaan kulit dan juga rambut ini turut mendapat perhatian orang ramai khususnya golongan remaja kerana kualiti bahan yang dijamin halal dan juga berkesan.

Tambahnya, biarpun produk itu tidak dijual di pasar raya tetapi ia boleh diperoleh di 200 rangkaian stokis JMD seluruh negara selain boleh dibeli melalui pos dengan menghubungi syarikatnya.

Rempah JMD

Rempah kurma ayam dan daging.

Lebih menarik JMD turut memperkenalkan empat rempah istimewa yang dihasilkan dengan cita rasa luar biasa berbanding rempah makanan lain.

Empat rempah berkenaan terdiri daripada rempah kurma ayam dan daging, rempah kari, udang dan ketam, rempah kari ayam dan daging serta rempah beriani.

Jelas Habib, rempah-rempah berkenaan menghasilkan cita rasa berbeza berbanding rempah lain yang terdapat di pasaran dengan hasil kajian terkini dalam memenuhi selera masyarakat di negara ini.

“Kami mendapati rempah-rempah yang dihasilkan ini mendapat sambutan kerana rasanya amat berlainan. Ia menjadi perhatian pemilik restoran dan suri rumah yang ingin menyajikan rasa berbeza terhadap makanan di restoran atau rumah masing-masing,” ujarnya yang memberitahu rempah tersebut boleh diperoleh melalui pos.

Dalam pada itu pengeluaran produk minuman turut tidak dilupakan apabila empat jenis barangan dihasilkan iaitu kopi pracampur Mak dara, Orange Fiber Ramping, Kopi Al-Habshee serta Teh Herba Al-Habsgee.

Untuk keterangan dan maklumat lanjut mengenai produk JMD bolehlah menghubungi talian: 03-41060299 atau layari www.jamumakdara.com.

Bawa Stokis Makan Angin

Para stokis dibawa melancong ke India sebagai penghargaan di atas penjualan prosuk keluaran Jamu Mak Dara.

KEJAYAAN JMD sehingga dikenali ramai pada hari ini turut dikongsi bukan sahaja dengan hampir 20 orang pekerjanya tetapi meraikan stokis-stokis yang berjaya menjual produk tersebut.

Menurut Habib, daripada 200 rangkaian stokis JMD di seluruh negara, beberapa stokis yang mencatat jualan memberangsangkan tidak di lupa apabila mereka menerima hadiah pelancongan percuma tajaan syarikat.

Katanya, ia adalah usaha untuk menarik minat mereka agar bekerja keras untuk memastikan mereka dapat mencapai sasaran sebelum diraikan dengan aktiviti melancong.

“Kalau sebelum ini saya membawa pemilik stokis saya yang berjaya ke Bandung, Indonesia dan China, pada tahun ini saya membawa mereka ke beberapa lokasi di India termasuklah Kashmir.

“Ia untuk menyuntik semangat supaya bekerja dengan lebih keras dan atas usaha itu saya tidak akan mensia-siakan mereka dengan memberikan trip percuma,” ujarnya.

Berkunjung ke India pada awal Oktober lalu, perjalanan berkenaan turut disertai oleh penyanyi Maya dan Jaafar Onn.

Kata Habib, stokis yang berjaya mengutip jualan hasil melebihi RM100,000 dalam masa setahun mampu diberi penghargaan berkenan.

“Saya faham bukan mudah untuk mereka mencapai sasaran seperti itu tetapi jika ada usaha yang gigih, ia bukan sesuatu yang mustahil. Sebab itulah saya memberi suntikan semangat kepada dengan membawa mereka “makan angin” sekiranya mencatatkan jualan yang baik,” katanya.

Jelas Habib lagi, tidak mustahil pada tahun hadapan jika pemilik stokis dapat menunjukkan prestasi jualan yang luar biasa, mereka akan dibawa ke destinasi yang lebih jauh lagi,” katanya yang turut berhasrat membawa kira-kira 20 individu terpilih ke Tanah Suci, Mekah pada Mac depan bagi menunaikan umrah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: