LAZIMNYA, kita mendengar emas mineral paling berharga di muka bumi ini hanya digunakan dalam pembuatan barang kemas dan dijadikan pengukur untuk penentuan mata wang.
Golongan bangsawan zaman Pertengahan di Eropah pula percaya pengambilan coklat dan gula-gula emas sebagai pembuka selera mampu 'mengekalkan hati yang sihat'.
Mengikut fakta sains, emas boleh dimakan namun tidak menawarkan apa-apa khasiat pemakanan, malah mineral ini tidak mempunyai sebarang rasa atau dalam lain perkataan tawar.
Soalnya, bolehkah emas dimakan? Emas yang dimakan biasanya lebih lembut dan bukannya emas pepejal yang digunakan dalam barang kemas bagi membuat cincin, anting-anting atau rantai leher, tetapi daun emas, kepingan emas, atau habuk emas yang ditambah untuk menjadi penghias makanan.
Daun emas tulen 24 karat adalah sangat lembut dan halus. Untuk dijadikan perhiasan biasanya dicampur dengan aloi lain untuk mewujudkan tahap kekerasan yang berbeza selain melaraskan nada warna. Di pasaran, barang perhiasan boleh didapati dalam 14 karat, 18 karat atau 22 karat kerana ia dicampur dengan tembaga dan bahan mineral lain.
Emas 24 karat terlalu lembut untuk perhiasan bagi pemakaian seharian malah ia cepat lusuh. Daun emas mengambil prinsip yang sama yang mana kebanyakannya bercampur dengan tembaga dan tidak sesuai untuk dimakan. Namun, emas yang bercampur dengan perak masih boleh dimakan kerana dikatakan boleh dihadam.
Secara umum, emas dikategorikan sebagai unsur logam yang toksik untuk badan, emas tidak boleh pecah atau diserap badan kita.
Justeru, penggunaan emas yang boleh dimakan atau emas edibel ini sebenarnya hanya digunakan untuk menghias makanan dan minuman bagi menampakkan lebih mewah dan berharga. Mengikut kod pemakanan, emas dilabelkan dengan kod E175 sebagai pewarna makanan.
Di Abu Dhabi, Hotel Emirates Palace memperuntukkan lima kilogram emas yang boleh dimakan setiap tahun untuk dijadikan hiasan hidangan pencuci mulut.
Hotel itu mendapatkan bekalan kira-kira 5,000 botol serbuk emas daripada pengedar dan pengilang dari Jerman yang dianggarkan membabitkan kos RM15.8 juta (ASS$500,000) setahun.
Selain itu, serbuk emas menjadi bahan tambahan dihidangkan dalam minuman kopi 'cappuccino' dan penghias pencuci mulut coklat.
Di Russia, penggemar makanan dengan campuran emas biasanya akan mengambil serbuk emas untuk dimakan bersama kaviar dan tiram.
Beberapa restoran mewah di Amerika Syarikat turut menyediakan sajian emas bagi penggemar aksesori mewah itu dengan menjanjikan 'gemerlapan di dalam' seperti 'bagel' seumpama donat dengan krim keju putih dihiasi beri goji dan daun emas berharga RM3,176 (AS$1,000) setiap satu.
Pembuat gula-gula Los Angeles pula menjual Holiday Nougat, yang dibuat dengan kepingan daun emas 23 karat dan pemilik kedai aiskrim Serendipity yang terkenal di New York, Stephen Bruce, menjual 'chocolate sundae Haute' beku bersalut emas 23 karat berharga RM79,404 (AS$25,000).
Selain menjadi bahan makanan, emas juga digunakan dalam bidang perubatan bagi merawat beberapa jenis kanser, malah ia dikatakan mampu menjadi sebagai penyurih dalam tubuh manusia.
Satu sebatian mengandungi emas yang dikenali sebagai 'disodium aurothiomalate', digunakan dalam suntikan untuk rawatan penyakit artritis. Satu molekul organik yang kompleks dikenali auranofin, pula digunakan dalam rawatan beberapa kes artritis reumatoid.
Masyarakat zaman pertengahan di Eropah pada kurun ke-15 juga dicatatkan pernah menggunakan serbuk emas untuk memulihkan orang mabuk.
Kesimpulannya, jika anda mempunyai wang yang banyak dan memang suka bermegah maka tidak salah rasanya mencuba resipi 24 karat ini. Namun, tidak semua orang kaya 'gila' dan menjadikan hidangan emas untuk dijadikan sebagai makanan. Tepuk dada tanya selera. Adakah anda juga berselera emas?
Ayam Panggang Emas
Restoran Steakhouse Blackstone Long Island di Amerika Syarikat menyajikan ayam panggang disalur daun emas 24 karat dihidangkan bersama kentang lenyek dan lobak. Harga tidak dinyatakan.
Sushi bersalut Daun Emas
Sushi Roku di Caesars Palace Las Vegas digulung bersama daun emas 24 karat berintikan daging lembu Kobe, udang karang dan cendawan hitam.
White truffle Bagel
Restoran di Westin New York menyajikan sandwic dan bagel berinti krim keju putih ditabur serbuk emas serta beri goji dan Riesling berharga RM3,176 (AS$1,000) setiap satu
Aiskrim Sundae
Restoran New York Serendipity menjual aiskrim coklat Sundae Emas, diliputi 23 karat daun emas daun disertakan sudu khas emas 18 karat juga berharga RM3,176 (AS$1,000).
Kek Coklat Emas dan Berlian
Usahawan Angelito Araneta Jr menjual kek coklat yang mengandungi daun emas 24 karat dan berlian kecil berharga kira-kira RM7940.42 (AS$2,500) sekeping. Kek itu dibuat khusus untuk lelaki yang berhasrat melamar teman wanita mereka.
Kek Perkahwinan Emas
Kek perkahwinan bersalut daun emas banyak dijual di beberapa kedai kek di Britain namun harganya murah iaitu pada kadar RM24.50 bagi sekeping daun emas.
Capuccino Emas
Hotel Emirates Palace menjual cappuccino dengan campuran serbuk emas 24 karat dengan kulit kayu manis berharga RM79.40 9 (AS$25) secawan.
Kaviar
Kaviar atau telur ikan yang menjadi sajian mewah Russia ini ditabur serbuk emas dan dibalut dengan daun emas 24 karat berharga RM155,000 (AS$49,000).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: