Sunday, December 4, 2011

Jiwa Melayu Maya

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Pelakon filem popular akui Ombak Rindu beri kekuatan emosi pada dirinya

RENUNGAN mata menggambarkan betapa hatinya dalam kesengsaraan ketika itu. Konflik jiwa aktres jelita, Maya Karin Roelcke, 32, dilihat begitu mencengkam emosi, lantas terbias dalam filem Ombak Rindu arahan Osman Ali.
Tidak hairanlah, hampir kebanyakan penonton yang menyaksikan filem Ombak Rindu adaptasi novel tulisan Fauziah Ashari itu menitiskan air mata. Lakonan Maya sebagai Izzah terlalu mendalam emosi sehingga tidak kira lelaki mahupun wanita mengalirkan air mata, malah ada yang terbuai dengan esak tangis di pawagam.
Izzah meresapkan semangat baru dalam diri saya. Hidup kena sentiasa reda dan berserah kepada Allah SWT. Hikmah yang terbesar, saya dapat melepaskan segala keluh resah selama ini dalam lakonan. Izzah juga menjadikan saya seorang yang sentiasa berfikiran positif. Saya dapat rasai kesakitan Izzah, ia lebih teruk daripada penderitaan saya. - Maya Karin
Maya berjaya meletakkan dirinya sebagai Izzah, gadis kampung naif yang terperangkap di lembah hina biarpun hatinya tidak rela. Apabila bebas, Izzah diuji lagi apabila rumah tangganya turut dilanda badai. Mungkin sama dengan kehidupan peribadinya, Maya dan Izzah, dua-duanya menghadapi konflik rumah tangga.

Filem Ombak Rindu terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd dan Tarantela Pictures Sdn Bhd menggandingkan Maya bersama pelakon kegilaan ramai, Aaron Aziz. Selain Maya dan Aaron, filem itu turut dibintangi Lisa Surihani, Bront Palarae, Zaidi Omar, Julia Ziegler, Normah Damanhuri, Nadia Nisaa dan Kamarool Yusof.

Secara jujurnya, gadis kacukan Melayu-Jerman itu mengakui filem ini terlalu berat, cabarannya dari awal hingga ke akhir cerita. Apatah lagi ketika penggambaran dijalankan, dirinya berdepan dengan konflik rumah tangga dan isu perceraian.

“Saya kuat ketika itu kerana Izzah. Jiwa Melayu Izzah melekat pada diri saya yang secara kebetulan berdepan dengan masalah peribadi ketika itu. Bukan kerja mudah, saya mengambil masa tiga minggu untuk mencari jiwa Izzah, akhirnya dengan bantuan pengarah dan Ellie Suriaty selaku guru lakonan, jiwa Izzah meresap dalam diri saya.
“Izzah meresapkan semangat baru dalam diri saya. Hidup kena sentiasa reda dan berserah kepada Allah SWT. Hikmah yang terbesar, saya dapat melepaskan segala keluh resah selama ini dalam lakonan. Izzah juga menjadikan saya seorang yang sentiasa berfikiran positif. Saya dapat rasai kesakitan Izzah, ia lebih teruk daripada penderitaan saya.

"Walaupun penat menangis kerana filem ini mencatat rekod paling banyak adegan air mata. Tidak dinafikan, ia memenatkan kerana perlu menangis hampir setiap masa dan mengekalkan mood yang sama tapi kepuasannya datang kemudian.

Berazam mahu contohi Izzah

“Saya pernah membaca novel Ombak Rindu kira-kira lapan tahun lalu, ia adalah novel yang sangat indah hasil nukilan. Izzah, seorang gadis yang tidak pernah lekang dengan dugaan hidup. Kalau novel lain mungkin timbul rasa bosan apabila watak penting di dalamnya sentiasa diuji, tetapi Ombak Rindu adalah naskhah yang hebat. Saya tidak pernah jemu membacanya.

“Karakter Izzah dilihat lemah secara luaran tetapi kuat secara emosi dan dalaman. Dia tidak pernah mengalah dengan dugaan yang menimpa. Saya berazam mahu sekuat Izzah ketika melalu kemelut hidup. Ketika diberikan skrip oleh produser, Sharad Sharan, saya rasa pernah membaca cerita ini. Apabila sebut novel Ombak Rindu, jelas terbayang karakter Izzah.

“Saya kena faham watak Izzah dan mendalami emosinya kerana saya tidak mahu gagal membawa watak ini. Saya mahu penonton merasai kesakitan dan penderitaan Izzah. Alhamdullilah, saya mendapat respon yang baik, malah apabila melihat penonton keluar dengan mata merah, saya rasa lega,” katanya.

Gadis kelahiran Bayreuth, Bavaria, Jerman itu berkata dia tidak lena sepanjang malam sebelum majlis pratonton filem berkenaan. Dirinya sendiri tidak sabar menyaksikan hasil lakonannya dan menanti reaksi peminat dan penonton.

“Selalunya apabila filem di pawagam saya akan melarikan diri kerana tidak mahu dibebani perasaan dengan cerita negatif. Bagaimanapun, berbeza pula dengan Ombak Rindu, saya seolah-olah tidak sabar mahu melihat keseluruhan cerita. Saya sudah melakukan yang terbaik dalam filem Ombak Rindu.

Bercuti enam bulan

“Saya sengaja memilih Ellie kerana berasakan beliau mampu memberi tunjuk ajar. Saya lihat lakonan Ellie sangat berjiwa dan ada karakter. Begitu juga gandingan saya dengan Aaron. Saya dan Aaron tidak mengambil masa yang lama untuk mencari keserasian. Mungkin ada yang tidak percaya saya dan Aaron menjalani rehearsal selama setengah jam saja untuk mendapatkan keserasian.

“Inilah pengalaman saya yang paling manis apabila saya, pelakon, pengarah dan kru berkampung selama tiga minggu di Langkawi. Kami semua satu kepala,” katanya yang sedang melakukan persiapan untuk filem terbaru yang masih dirahsiakan judul.

Menyentuh soal peribadi, anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, hidupnya tidak pernah sunyi, malah dirinya bahagia menjalani kehidupan bersendirian tanpa ada lelaki bernama suami di sisi.

“Saya tidak sempat merasai kesunyian kerana ada saja aktiviti yang dilakukan. Lagipun, saya tinggal bersama ibu, jadi mereka sentiasa hati. Saya akui mempunyai ramai kawan sehingga kadang kala mengambil masa dua minggu untuk bertemu.

“Setiap hari ada saja teman yang ingin berjumpa saya. Lagipun, saya baru saja pulang bercuti. Enam bulan saya melakukan siri penjelajahan ke beberapa negara yang ingin dilawati selepas tujuh tahun tidak pernah berpeluang bercuti. Ia umpama melepas geram (berseloroh),” katanya.

INFO: Maya Karin Roelcke
  • Umur: 32
  • Tarikh Lahir: 29.10.1979
  • Tempat Lahir: Bayreuth, Bavaria, Jerman
  • Profesion: Pelakon, Penyanyi, Model, Pengacara
  • Filem: No Problem, Pontianak Harum Sundal Malam, Pontianak Harum Sundal Malam II, Mr Cinderella 2, Tujuh Perhentian, Waris Jari Hantu, Anak Halal, 1957: Hati Malaya, Duyung, Punggok Rindukan Bulan, Lagenda Budak Setan, Pisau Cukur, Cun, Ombak Rindu & Lagenda Budak Setan 2.
  • Album: Erti Cinta & Bukan Qalamaya
  • Pencapaian: Artis Baru Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2001); Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 di Fukuoka, Jepun (2004); Pelakon Terbaik Festival Filem Fantasi dan Seram Estepona, Malaga, Sepanyol (2005); Pelakon Filem Wanita Popular (ABPBH2005); Aktres Filem Pilihan Anugerah Oskar Ke-6; Pelakon Wanita Terbaik FFM21.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: