Sunday, December 4, 2011

Dalami ilmu aksi

pix_middle

PELAKON dan pengarah muda, Farid Kamil, 30, membuktikan yang dia serius menceburi dunia lakonan apabila sanggup mengeluarkan bajet sendiri bagi mengikuti kursus jangka pendek selama tiga minggu di Australian Stunt Academy di Brisbane.

Dia ke sana bulan lalu mengambil kursus aksi lasak, sesuai dengan genre filem arahannya kini yang menjurus kepada cerita gangster, kongsi gelap dan mat rempit. Farid memilih akademi itu kerana ia adalah pusat latihan terbaik yang menyediakan tenaga pengajar paling terlatih yang mana mereka juga adalah karyawan yang terbabit dalam pembikinan filem aksi hebat Hollywood antaranya Mission Impossible 2 dan Batman - The Dark Night.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

    SERIUS...ketika mengarah V3: Rempit Jalanan.

  • Foto

  • Foto

    BERKESAN...Farid dalam filem Anak Halal pada 2007.

“Saya berharap akan dapat sesuatu yang memberi manfaat kepada kerjaya seni selaku pelakon dan pengarah. Ilmu yang ada belum cukup untuk saya membuat persediaan pada masa depan kerana saya perlu mengorak langkah lebih berani dan lebih jauh.

“Setakat apa yang saya tahu, sekarang belum cukup kukuh untuk muncul sebagai pengarah yang disegani ramai suatu hari nanti. Semua bidang dan sektor pekerjaan melalui perubahan yang amat ketara dan kalau kita tidak mengejarnya, pasti akan ketinggalan. Setiap hari ada saja teknik terbaru dalam pembikinan filem terutama filem aksi,” katanya.


Dia yang kini berbahagia selepas menjalin semula hubungan cinta dengan pelakon jelita, Diana Danielle, baru saja selesai berlakon dalam filem Legenda Budak Setan 2 dan Petiga iaitu filem arahannya sendiri.


“Petiga berkisar kepada cara hidup dan kegiatan gangster. Filem ini berdasarkan pengalaman saya bersama kumpulan itu. Ia bukan hanya menunjukkan kejahatan semata-mata tetapi turut diselitkan kritikan sosial kenapa dan mengapa mereka terbabit dalam kegiatan itu.

“Penggambaran filem itu dilakukan sepenuhnya di Pulau Pinang kerana lokasi yang saya perlukan ada di situ. Saya mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pihak berkuasa pulau itu, membolehkan penggambaran berjalan lancar dan pantas.

“Paling menarik dan saya berpuas hati sangat apabila aksi lumba motosikal dapat dirakamkan di atas jambatan terpanjang di Asia Tenggara dan ketiga di dunia itu.

“Buat kali pertama juga saya melakukan penggambaran filem di luar Kuala Lumpur. Di pulau itu juga saya menggunakan banglo terbiar yang terdapat di Monkey Island sebagai markas kongsi gelap. Cerita utama dalam Petiga mengenai kehilangan mikrocip di Pulau Pinang yang bernilai RM5 juta,” katanya yang turut berlakon dalam filem itu.

Semua filem arahan Farid bersama MIG Pictures berkisar kepada aksi kerana katanya, di syarikat itu sudah diletakkan setiap pengarah genre yang bersesuaian dengan kreativiti dan kecenderungan mereka.

“Saya akan cuba buat filem lain tetapi bukan pada masa terdekat. Kalau dalam bidang pengarahan, saya lebih kepada aksi tetapi apabila berlakon saya selalu muncul sebagai hero filem cinta yang sering jiwang habis. Jika watak jahat, ada pelbagai bentuk kejahatan, begitu juga dengan watak baik.

“Ada yang jiwang karat, sebagai lelaki romantik, lelaki kecewa cinta dan pelajar kolej yang memburu cinta gadis pujaannya. Selagi orang kata saya boleh melakonkan setiap watak itu dengan baik dan peminat suka, saya tiada masalah,” katanya.

Apabila bercakap mengenai rancangan masa depan, Farid akan cuba mencorakkan apa yang dilakukannya sekarang agar menjadi lebih baik dan menggapai impiannya untuk menjadi pengarah prolifik yang hebat berkarya seperti penerbit MIG, David Teo.

“Saya menilai setiap komen orang dengan positif dan tingkatkan lagi kekurangan yang ada. Setiap kali mengarah, ia adalah proses pembelajaran sama seperti kita berlakon. Selalu ingin buat yang lebih bagus,” katanya.

Menyentuh kesudiannya jika ada pihak menawarkan dia berlakon dengan Diana, jelasnya ia bergantung kepada jalan cerita kerana dia tidak mahu ada pihak mengeksploitasi percintaan mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: