Masalah lembu berkeliaran

PEKAN – Sikap tidak bertanggungjawab pemilik lembu yang membiarkan haiwan peliharaan mereka ber­keliaran tanpa kawalan mengundang amarah dalam kalangan penduduk ekoran terpaksa berhadapan pelbagai masalah sekali gus mengganggu ­keselesaan mereka.

Seorang penduduk di Lorong Geylang 3, Azmir (bukan nama ­se­benar) berkata, kehadiran ­sekum­pulan lembu yang sering ­memasuki kawasan rumah serta merosakkan ­tanaman penduduk ­menyebabkan mereka menanggung kerugian dan persekitaran rumah menjadi kotor.

Menurutnya, haiwan peliharaan ini sering memakan anak pokok yang ditanam penduduk di sini terutama ketika kami tiada di rumah.

“Lembu ini masuk ke dalam ­kawasan rumah kami dan seterusnya meragut tanaman yang berada di s­ekitar rumah hampir setiap hari.

“Selain meragut tanaman, jalan di sekitar kawasan rumah penduduk di sini turut dicemari najis haiwan ter­sebut,” katanya.

Menurutnya, penduduk di sini ­sudah letih dan rimas menghadapi ­situasi ini serta ditambah pula dengan kerugian akibat kerosakan tanaman.

“Haiwan ini juga gemar tidur di tengah jalan hingga mengganggu ­laluan penduduk.

“Keadaan ini sememangnya mengganggu rutin harian penduduk dan menyebabkan penduduk ter­paksa hidu bau busuk,” katanya.

Menurutnya, sehubungan itu, penduduk di sini minta pihak ­ber­wajib ambil tindakan ke atas pemilik ­haiwan ternakan ini ekoran sikap ­‘lepas ­tangan’ dengan membiarkan lembu berkeliaran tanpa kawalan.