Bantu remaja bentuk kehidupan positif

CHENOR - Corak peralihan alam kanak-kanak yang tidak matang ke alam dewasa boleh mempengaruhi kehidupan mereka.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Sekara, Razali Abu Bakar berkata, setiap remaja perlu diasuh untuk mempersiapkan diri sebagai khalifah ALLAH SWT.

Menurutnya, tujuan hidup yang tidak bercanggah dengan kehendak Islam hendaklah disemai dalam diri seorang remaja sejak awal lagi supaya mereka berjaya dan maju sebagai generasi cemerlang serta diberkati.

“Jika pembentukan remaja tidak berlaku dengan sempurna, maka pembangunan negara akan terjejas kerana golongan remajalah bakal menjadi pemimpin masa depan.

“Ketika ini, masalah sosial remaja sangat membimbangkan. Boleh dikatakan keruntuhan akhlak remaja bagaikan seiring dengan pembangunan negara,” katanya ketika ditemui pada majlis khatan beramai-ramai, di sini.

Razali berkata, antara masalah sosial yang sering dilakukan remaja hari ini ialah seks bebas, lari dari rumah, pembuangan bayi, penagihan atau pengedaran dadah, ponteng sekolah, mengugut, menubuhkan kumpulan haram dan sebagainya.

Menurutnya, terdapat beberapa faktor masalah itu berlaku, antaranya perubahan persekitaran secara mendadak selain kurangnya didikan agama dan kasih sayang dari rumah.

“Perasaan mahu mencuba dan desakan atau pengaruh daripada rakan sebaya juga boleh menjadi punca.

“Sebenarnya, masalah remaja adalah masalah kita bersama, maka gandingan mantap semua pihak sangat diperlukan,” katanya.