KUALA TERENGGANU - Bengang permintaannya untuk meminjam motosikal dan kereta tidak diendahkan abangnya, seorang buruh seolah-olah ‘dirasuk’ kerana sanggup membaling pasir, mencalar dan mematahkan nombor pendaftaran kereta milik abangnya itu.
Bukan itu sahaja, bapa kepada seorang anak itu juga turut bertindak mengugut abangnya menggunakan sebilah parang dalam satu kejadian di Kampung Banggol Tok Jiring, di sini, 28 November lalu.
Bagaimanapun, sikap panas barannya itu mengundang padah setelah tertuduh, Nasruddin Zakaria, 37, dari Kampung Banggol Tok Jiring dijatuhi hukuman penjara sebulan dan dikenakan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Hukuman itu dijatuhkan setelah tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan ketakutan secara jenayah, dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat ke atas kereta jenis Proton Wira milik abangnya itu.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh mengaku telah mendatangkan ketakutan secara jenayah terhadap abangnya, Solah Hudin Zakaria, 38, dengan menggunakan
sebilah parang di hadapan rumah abangnya itu pada 28 November lalu antara jam 3.30 petang hingga 4.30 petang.
Bagi kesalahan itu, tertuduh dijatuhi hukuman penjara selama sebulan dan denda RM3,000 dan jika gagal menjelaskan denda, tertuduh akan dipenjarakan tiga bulan.
Manakala, bagi pertuduhan kedua, tertuduh mengaku telah sengaja melakukan khianat ke atas kereta jenis Proton Wira milik abangnya itu yang telah menyebabkan kerugian
kira-kira RM150 di hadapan rumah abangnya pada hari sama antara jam 12.30 tengah hari hingga 4.30 petang.
Susulan pengakuan bersalah bagi pertuduhan itu, tertuduh dikenakan denda RM2,000 dan jika gagal menjelaskan denda berkenaan, dia akan dipenjarakan selama dua bulan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi di hadapan Majistret Nor Azizah Jusoh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, berlaku sedikit perselisihan faham di antara dua beradik itu yang dipercayai berpunca daripada keengganan abang tertuduh membenarkan dia meminjam kereta dan motosikal.
Tertuduh terus naik berang dan mengamuk dengan membaling pasir, mencalarkan serta mematahkan nombor pendaftaran kereta milik abangnya itu.
Abangnya yang malas melayan kerenah tertuduh dan tidak mahu meneruskan pertengkaran itu, beredar dari rumahnya dengan harapan tindakannya itu dapat memulihkan
keadaan.
Selepas beberapa minit beredar, abangnya pulang semula ke rumah dan ketika hendak masuk ke dalam keretanya, tertuduh telah datang sambil memegang sebilah parang
lalu terus mengugut akan merosakkan kereta itu.
Bimbang perkara tidak diingini berlaku, abangnya terus melarikan diri untuk mendapatkan pertolongan daripada saudaranya yang tinggal di Taman Desa Pusu Tiga, Jalan
Gong Badak, di sini.
Sejurus menceritakan kejadian itu, saudaranya kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Gong Badak dan pada keesokan harinya iaitu 29 November lalu kira-kira jam 5.40 petang, tertuduh telah ditangkap di Jalan Sultan Ismail, di sini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: