Monday, December 5, 2011

Masa depan khazanah hutan


Hutan juga memainkan peranan penting sebagai kawasan tadahan air yang utama dan juga membekalkan oksigen kepada kehidupan.


WALAUPUN hutan di Malaysia dinobatkan antara hutan hujan tertua di dunia yang berusia jutaan tahun, tidak ramai di kalangan masyarakat negara ini menyedarinya.

Umumnya, Semenanjung Malaysia masih dilitupi 45 peratus hutan yang terbahagi kepada 10 peratus Taman Negara dan Taman Hidupan Liar.

Manakala 16 peratus lagi hutan simpan, 18 peratus hutan perlindungan dan selebihnya, sebanyak 56 peratus adalah hutan pengusaha hasilan.

Di Sabah pula 60 peratus kawasan masih dilitupi hutan dan Sarawak sebanyak 75 peratus (sumber :Malaysia Timber Council, 2002).

Realitinya kawasan hutan di negara ini semakin mengecil saban tahun. Ia akibat himpitan pembangunan yang begitu drastik bagi memenuhi keperluan masyarakat.

Sudah tentu pengecilan kawasan itu berpunca daripada kemusnahan hutan bagi tujuan komersial yang sudah tentu Tebih banyak membawa kerugian berbanding kebaikan.

Malaysia sebenarnya mempunyai rekod pengurusan hutan untuk pengeluaran kayu yang baik sejak tahun 1901.

Penghasilan secara saintifik diamalkan bagi menjamin pengeluaran, pemulihan dan pemuliharaan hutan yang teratur.

Sistem tersebut secara asasnya memastikan dirian yang ditinggalkan (pokok yang tidak mencapai tahap untuk dituai) mencukupi untuk proses pembalakan seterusnya.

Kebiasaannya dalam sehektar 32 pokok yang berukur lilit 30 sentimeter selepas setiap kitaran pengeluaran.

Namun begitu ia langkah tersebut bukan jaminan kawasan hutan di negara ini akan kekal. Kawasan yang telah diteroka itu pula tidak mungkin wujud seperti keadaan asal walaupun selepas 20 hingga 30 tahun.

Untuk memulihkan semula kawasan hutan yang telah musnah memerlukan masa ratusan tahun.

Di atas kesedaran itu kawasan hutan simpan telah diwartakan oleh kerajaan bagi memelihara khazanah yang tidak ternilai tersebut.

Langkah itu disertai dengan penubuhan Jabatan Hutan Semenanjung Malaysia (JPSM) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), bagi menyelia proses pengusaha hasilan dan pemuliharaan hutan.

Menurut pakar perhutanan tempatan, Datuk Razani Ujang, pemeliharaan hutan di Malaysia memerlukan kerjasama daripada semua pihak. Ia bukan hanya diletakan di atas bahu JPSM semata-mata.

Malah katanya, sebagai sebuah jabatan kerajaan, kadang kala mereka juga memerlukan sokongan daripada masyarakat dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk memelihara khazanah negara itu.

"Ramai yang beranggapan JPSM hanya berfungsi sebagai penuai balak semata-mata. Sebenarnya sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab menjaga hutan, fungsi JPSM adalah lebih daripada itu.

"Kita turut melaksanakan pemuliharaan dan pemeliharaan hutan simpan serta penguatkuasaan undang-undang," ujarnya yang pernag menyandang jawatan Ketua Pengarah JPSM

Tambah beliau lagi, cabaran dalam isu perhutanan kini bukan lagi dalam proses pengeluaran hasil balak, tetapi usaha mengekalkan kepelbagaian biologi sumber hutan yang pelbagai (mega biodiversiti).

Antara lain, katanya, usaha mengekalkan kawasan Hutan Simpan Kekal perlu dipertingkatkan agar kawasan tersebut kekal tidak terusik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: