Monday, December 5, 2011

Berjalan di dasar laut


KASUT yang bersesuaian untuk dipakai oleh peserta ketika berada di dasar laut.


Aksi 'orang bulan' yang sedang terapung-apung di udara ketika bergerak seolah-olah menunjukkan keseronokan berada dalam keadaan tarikan graviti sifar.

Keadaan itu berlaku sekiranya anda berada di bulan, tapi bolehkah pengalaman itu diperolehi di daratan? Bagaimana pula sekiranya anda berjalan di dasar laut? Sebenarnya, kini anda juga boleh berjalan di dasar laut yang dipenuhi pelbagai misteri. Aktiviti ini dikenali sebagai Sea Walking.

Bagi mereka yang berangan-angan untuk meniru gaya angkasawan berjalan, bolehlah mencubanya di dasar laut sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

Bagi yang berminat untuk merasai pengembaraan dasar laut ini bolehlah mengunjungi Taman Tunku Abdul Rahman yang terletak di negeri bawah bayu, Sabah.

Warna-warni dasar laut

Ini bukan cabaran biasa. Ia seolah-olah merealisasikan impian kita sekurang-kurangnya untuk meniru dan mengalami sendiri pengalaman angkasawan merentasi perjalanan ke angkasaraya tetapi bezanya di dasar laut. Setiap langkah yang anda lakukan pastinya akan terpukau dengan keindahan dasarnya yang mungkin 1,000 kali ganda lebih indah daripada permukaan bulan.

Dari Pulau Sapi, setiap peserta akan dibawa ke sebuah pelantar khas yang terletak kira-kira 10 minit perjalanan.

Sebelum melangkah masuk ke dasar laut sudah tentu perasaan gemuruh menguasai diri memandangkan badan sudah tenggelam jauh ke dasar laut sedalam 20 hingga 40 kaki. Namun ketika berjalan, bekalan oksigen yang disalurkan dari generator angin yang terletak di atas pelantar mampu membekalkan udara selama yang anda inginkan.

Malah anda tidak perlu bimbang dengan faktor keselamatan kerana anda akan ditemani oleh jurulatih selam yang berpengalaman dan tali yang boleh dijadikan pegangan ketika peserta berjalan di dasar laut.

Aktiviti ini berbeza dengan selam skuba kerana anda tidak perlu memakai kelengkapan khas seperti baju renang, pemberat, tong oksigen dan peralatan rumit yang lain untuk melakukan aktiviti Sea Walking kerana cukup sekadar memakai Sea Trek Underwater Helmet Diving System yang menyerupai topi angkasawan.

Untuk memakainya ia amat mudah malah sesuai buat seisi keluarga, dari kanak-kanak berusia tujuh tahun hingga orang dewasa.

Malah peserta tidak perlu berada dalam keadaan ketakutan ketika turun ke dasar laut kerana laluannya tidak mencabar.

Jika ada pun, anda akan dikejutkan dengan kehadiran makhluk marin berwarna-warni yang akan mengurumuni setiap peserta yang melalui perjalanan itu.

Boleh dikatakan aktiviti di taman itu merupakan yang pertama di negara ini menyediakan perkhidmatan berjalan di dasar laut melalui perjalanan sejauh 200 meter dan sesuai dijadikan tempat riadah buat penggemar sukan air.

Sebelum ke pelantar bot yang direka khas untuk aktiviti tersebut, para peserta perlu mendaftarkan diri di Pejabat Operasi Sea Walking yang terletak di Pulau Sapi.

Di sana, peserta akan diberikan taklimat ringkas mengenai isyarat tangan asas untuk memudahkan para peserta berkomunikasi ketika berada di dasar laut, teknik-teknik berjalan dan langkah-langkah kecemasan.

Setelah tamat sesi taklimat, para peserta akan dibawa ke pelantar di mana keseronokan sebenarnya bermula.

Dari atas permukaan pelantar bot, setiap peserta akan diberikan sebuah topi oksigen seberat hampir 50 kilogram.

Ketika menuruni tangga pelantar barulah peserta akan dipakaikan topi tersebut dan terus turun ke dasar laut secara bergilir-gilir.

Sebaik berada di dasar laut, peserta bebas bergerak mengikut laluan tali yang dipasangkan dan anda tidak perlu bimbang mengenai soal keselamatan kerana setiap laluan dan peralatan dijamin selamat kerana ia sentiasa dibaik pulih dari masa ke semasa.

Ketika bergerak, para jurulatih selam akan menemani para peserta maka sepanjang masa di dasar laut itu penuhilah masa menghayati pemandangan indah di dasar laut sebaik mungkin kerana masa yang diberikan agak terhad (20 hingga 30 minit sahaja).

Jika berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini, bantuan kecemasan bakal dihulurkan kepada yang memerlukan.

Selain itu, para jurulatih selam juga akan mengumpan sebanyak mungkin ikan-ikan eksotik yang berada di sekeliling untuk datang berdekatan dengan peserta.

Ketika para peserta leka bermain dengan ikan-ikan tersebut, jurulatih akan merakamkan gambar dan video anda.

Sementara itu jurulatih selam, Mohd. Arman Kasim berkata, apa yang perlu diutamakan oleh setiap peserta ialah kepercayaan terhadap diri sendiri ketika merintangi laluan dasar laut.

"Jika anda percaya boleh lakukannya maka keselamatan anda telah pun dijamin 100 peratus, cuma jangan berebut-rebut untuk naik semula ke dasar laut dan jangan turun terlalu cepat kerana tekanan graviti dasar laut boleh membuatkan telinga berdesing atau sakit kepala.

"Malah jika air masuk ke dalam topi yang disediakan, apa yang perlu anda lakukan ialah hembus nafas sekuat mungkin dan air tersebut akan keluar dengan sendiri," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: