Lima keldai dadah ditahan

KUALA LUMPUR – Empat lelaki warga Nigeria dan seorang wanita tempatan berusia 21 tahun ditahan dalam serbuan polis di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor, kelmarin selepas dipercayai terlibat sindiket edar dadah.

Suspek wanita tersebut dipercayai dijadikan keldai dadah yang akan membawa barang tersebut ke luar negara dengan menaiki pesawat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, hasil operasi tersebut, polis menemui 1.79 kilogram kokain disorok pada rua-ngan khas dalam sebuah beg yang diubah suai.

Menurutnya, dadah bernilai setengah juta dipercayai akan diseludup keluar negara seperti Thailand dan Jepun.

“Suspek warga Nigeria yang ditahan berusia 21 hingga 34 tahun dan hanya seorang mempunyai pas pelajar manakala status yang lain masih disiasat.

“Semua suspek kini direman hingga 13 Disember untuk siasatan lanjut,” katanya ketika sidang media di Bukit Aman, semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.


Noor Rashid berkata, statistik menunjukkan jumlah warga Afrika yang ditangkap pada 2011 melonjak kepada 173 orang berbanding 65 orang pada 2010.

Menurutnya, daripada bilangan itu, seramai 139 daripada mereka terdiri dari warga Nigeria yang ditangkap pada 2011 berbanding 50 orang pada 2010.