Diam diam ubi berisi, pepatah inilah yang paling tepat untuk menggambarkan aktiviti dua Imam Muda, Nazrul dan Fakhrul setelah berakhirnya program pencarian Imam Muda musim kedua yang lalu. Jadual aktiviti harian mereka kini padat dengan pelbagai program dakwah dan kerohanian kepada masyarakat. Terbaru, mereka muncul dalam program berjudul Skuad Imam Muda yang bakal menemui para penonton pada setiap hari Rabu, jam 9 malam bermula 7 Disember, menerusi Astro Oasis (Saluran 106).
Skuad Imam Muda ialah sebuah program travelog yang menonjolkan metodologi dakwah secara santai selain memaparkan perjalanan dua Imam Muda musim kedua menggunakan pengangkutan 'motor home', untuk bergerak ke seluruh semenanjung Malaysia.
Setiap lokasi dan pengalaman mereka didokumentasikan kepada sebuah realiti kehidupan untuk mendalami masalah dan keperluan masyarakat.
Dua orang Imam Muda ini membantu dan menjalankan sesi motivasi dan bekerjasama dengan penduduk kampung untuk memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan.
Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, sebagai salah satu medium yang berperanan menyebarkan informasi kepada masyarakat, Astro sentiasa berusaha menawarkan variasi program secara santai dan mudah diterima penonton.
Justeru, sudah menjadi amanah Astro Oasis sebagai sebuah saluran gaya hidup Muslim untuk menawarkan program-program berunsurkan keislaman termasuk pendidikan, hiburan dan dokumentari seperti yang ditonjolkan menerusi Skuad Imam Muda ini.
"Kehadiran Imam Muda ternyata telah mencetuskan fenomena bukan sahaja kepada saluran ini, malah ke seluruh negara sehingga mendapat perhatian dunia. Selama dua musim, seramai 20 Imam Muda dilahirkan dan bersedia untuk menabur bakti kepada masyarakat.
"Antara aktiviti dilakukan termasuk mendekati kehidupan Orang Asli Muslim, merasai pengalaman sebagai nelayan, mendekati pelajar kolej, menziarahi saudara seislam di Pulau Ketam, Konvoi Mat Motor ke Gunung Ledang dan banyak lagi," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: