MUAR – Tindakan berani seorang lelaki menyembunyikan sejumlah dadah dalam kotak rokok mengundang padah apabila dia ditahan polis dalam operasi sekatan jalan raya di Jalan Salleh di sini, kira-kira jam 11 pagi pada 5 Disember lalu.
Ketika ditahan, suspek berusia 29 tahun itu memandu kenderaan jenis pacuan empat roda Toyota Hilux secara bersendirian.
Bagaimanapun, dia ditahan dalam sekatan itu apabila didapati dalam keadaan yang mencurigakan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, susulan pemeriksaan yang dijalankan dalam kenderaan itu menjumpai kotak rokok mengandungi dadah jenis syabu seberat satu gram yang dibungkus dalam plastik.
Menurutnya, polis turut menjumpai 10 biji dadah jenis pil eramin 5 dan ganja seberat 0.25 gram.
“Kami tidak menolak kemungkinan, dadah itu untuk kegunaan sendiri atau dijual kepada pelanggannya.
“Suspek kini ditahan reman selama seminggu untuk membantu siasatan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39 a (2) Akta Dadah Merbahaya 1952 dan Seksyen 12 (2) akta sama.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: