JOHOR BAHRU – Seorang lelaki bertindak agresif dengan melibas beg bagi menghalau petugas media dan mengelak wajah tertuduh yang dipercayai isterinya dirakam di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Bagaimanapun aksinya itu tidak dipedulikan malah jurugambar terus menjalankan tugas mereka seperti biasa.
Terdahulu, Hakim Madihah Hairullah menetapkan hukuman denda RM25,000 dan sehari penjara ke atas Pengarah Syarikat Nipseals Sdn Bhd, Teo Swee Eng, 53, yang mengaku salah memberi rasuah RM5,000 kepada Penyelia Keselamatan Kanan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Julai lalu.
Mengikut kertas pertuduhan yang dibacakan, dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah hotel di Jalan Masai Lama, Plentong di sini dengan memberi suapan wang tunai RM5,000 kepada seorang ejen TNB, Mohd Sanusi Zakaria sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang di premisnya di Taman Perindustrian Tropika, Ulu Tiram kerana disyaki melakukan kesalahan penambahan satu litar asing yang dipintaskan sehingga menyebabkan meter tidak merekodkan bacaan betul, pada jam 11.15 malam pada 6 Julai lalu.
Kesalahan tersebut di bawah Seksyen 37 (1) dan/atau Seksyen 37(3) dan /atau Seksyen 37(14) Akta Bekalan Elektrik 1990 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda lima kali ganda dari jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Madihah turut memerintahkan empat bulan penjara ke atas Swee Eng jika gagal membayar denda tersebut.
Tertuduh yang diwakili peguam N Mariappan memohon hukuman diringankan kerana ia merupakan kesalahan pertamanya dan dia juga menghidap penyakit ulser hati dan darah tinggi serta terpaksa menjaga ibu mertua yang lumpuh berusia 80 tahun.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ridzuan Abd Malik.
Swee Eng membayar denda yang dikenakan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: