KLUANG - Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pengajian Tinggi (Haluan) terus optimis dalam menarik minat masyarakat melibatkan diri dalam program-program kemasyarakatan seiring dengan objektif pertubuhan itu diwujudkan.
Yang Dipertua Haluan Johor, Profesor Dr Sr Abdul Hakim Mohammed berkata, pertubuhan yang sudah mencecah usia lebih 12 tahun itu membuat kerja-kerja pendidikan dengan matlamat membangunkan generasi berakhlak, mendidik dan berbakti tanpa terlibat dengan politik.
“Agenda utama Haluan untuk melahirkan pemimpin pada masa hadapan supaya generasi pada masa ini dapat menggantikan pemimpin sedia ada.
“Oleh sebab itu, kami menganjurkan Program Cemerlang Akademik Sahsiah Terpuji (ProCAST) yang bertujuan menekankan kepada aspek pembentukan jati diri, jelas dalam matlamat dalam melaksanakan tugas dan amanah kepimpinan,” katanya sempena program ProCAST yang diadakan di Kampung Manong, Batu 9, di sini.
Abdul Hakim berkata, program khidmat masyarakat yang diadakan itu ianya secara tidak langsung dapat mendidik para peserta cara menghayati sesuatu kepimpinan itu sebagai satu ibadah dan pembentukan keterampilan diri.
“Selain daripada itu, ahli-ahli Haluan banyak terlibat dalam misi-misi menyelamat seperti bencana banjir, tsunami dan sebanyak yang mana kami ada menghantar ahli kami ke kawasan negara yang mengalami bencana.
“Malah, Haluan juga banyak membantu golongan yang susah dan pada Hari Raya Aidiladha, kita menghantar 600 hingga 1000 ekor lembu untuk di hantar ke luar negara bahkan pergi ke Somalia untuk menghantar bantuan ubat-ubatan. Niat kami hanya mahu beramal dan membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: