jangkitan siflis

SUNGAI TIANG - Lebih 30 penduduk Orang Asli dari beberapa perkampungan di pesisir Sungai Tembeling, dipercayai mengidap penyakit sifilis akibat kegiatan seksual tidak sihat sejak beberapa bulan lalu.

Perkara itu disahkan sekumpulan doktor dan pembantu perubatan dari Hospital Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Gombak, Kuala Lumpur serta Bahagian Kesihatan Jakoa negeri ini.

Melalui siasatan yang dijalankan, jangkitan penyakit itu dipercayai berpunca dari hubungan seks wanita Orang Asli bersama pekerja ladang warga asing di kawasan Ciku, Gua Musang dan Hulu Tembeling.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Muhammad Olian Abdullah berkata, beliau sendiri terkejut menerima maklumat berkenaan dan berharap pihak hospital dan Jabatan Kesihatan Jerantut segera melaksanakan kaedah rawatan serta tindakan susulan bagi membasmi jangkitan.

Menurutnya, kekurangan pemantauan daripada pihak berwajib menyebabkan berlaku kegiatan seksual tidak sihat di kawasan itu melibatkan penduduk Orang Asli dan warga asing.

“Lewat mendapat rawatan menyebabkan penyakit ini terus menular dan berjangkit kepada pasangan lain,” katanya selepas melancarkan Kem Kesihatan Jakoa di Sungai Tiang, dekat sini.

Olian berkata, kekurangan ilmu pengetahuan dan kesedaran mengenai bahaya penyakit itu juga menyebabkan sifilis terus menular.

Katanya, pihak hospital perlu meneruskan usaha memberi kesedaran dan rawatan kepada Orang Asli supaya mereka tidak mudah dijangkiti penyakit kelamin termasuk HIV.

Pegawai Perubatan Hospital Jakoa Gombak, Dr Muhammad Firdaus Mat Saad berkata, sampel darah penduduk Orang Asli di Sungai Tiang, Dedari, Sungai Kucing dan Hulu Sat diambil untuk ujian makmal.

Menurutnya, pihaknya akan berusaha memujuk penduduk memberi maklumat punca jangkitan dan gejala yang dialami untuk memudahkan rawatan susulan di hospital.

“Kebanyakan penghidap enggan mendedahkan komplikasi jangkitan dan menganggap kesan tertentu yang dialami merupakan penyakit biasa.

“Penyakit kelamin yang berpunca daripada kuman atau bakteria (sifilis, gonorea) dapat diubati sepenuhnya dengan penggunaan ubat antibiotik,” katanya.

Beliau berkata, bagi penduduk yang dikesan mengalami jangkitan sifilis setelah menjalani ujian darah dan makmal, akan dibawa ke Hospital Jakoa Gombak bagi rawatan selanjutnya.