ic tertukar

TEMERLOH – Seorang suri rumah kecewa dengan tindakan pengawal di sebuah kem tentera di sini yang cuai hingga menyebabkan kad ­pengenalan miliknya bertukar dengan ­individu lain.

Suri rumah terbabit, Azniza Zaini berkata, kejadian berlaku ketika dia menghadiri kenduri sempena majlis khatan anak rakannya di dalam kem itu Sabtu lepas.

Menurutnya, dia memasuki kem terbabit kira-kira jam 10.30 pagi bersama dua anaknya serta seorang ­rakan bersama anak dengan menaiki sebuah kereta.

“Saya meninggalkan kad pengenalan kepada pengawal di pintu ­masuk utama dan digantikan dengan kad pelawat untuk memasuki kem.

“Ketika pulang kira-kira jam 3.30 petang, salah seorang anak saya menghantar kad pelawat di pos ­pengawal untuk mendapatkan ­semula kad pengenalan saya.

“Disebabkan anak terlalu lama di pos pengawal, saya kemudian keluar dari kereta dan dimaklumkan pengawal di situ kad pengenalan saya hilang atau tertukar dengan individu lain,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Azniza berkata, selepas puas mencari, pengawal mengakui ­kemungkinan kad pengenalan miliknya bertukar dengan individu lain.

“Ketika kejadian anak saya ­demam dan saya perlu balik segera untuk ke klinik, tetapi disebabkan ke­cuaian pengawal terbabit kami sekeluarga menghabiskan masa dua jam di pos pengawal terbabit,” katanya.

Azniza berkata, salah seorang anggota MP kemudian cuba men­jejaki kad pengenalan saya ke sebuah alamat rumah di Mentakab namun masih gagal.

“Kira-kira jam 5 petang barulah datang seorang lelaki Cina memulangkan kad pengenalan saya. Kejadian ini sangat mengecewakan saya, sehari kemudian saya membuat laporan polis.

“Tujuan saya memberi pen­dedahan dalam akhbar supaya pihak terbabit mengambil iktibar kejadian yang menimpa saya dan tidak ­sewenang-wenangnya cuai dalam ­tugas,” katanya.