KOTA BHARU – Seorang anggota polis berpangkat lans koperal dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam kerana berdepan tuduhan menagih dadah metamphetamine, tahun lalu.
Pertuduhan terhadap Mohd Syazwan Aziz, 23, dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.
Dia dituduh memberikan kepada dirinya sendiri dadah tersebut di dewan Sri Dewan Sri Nilam, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu antara jam 11.40 pagi dan 2.30 petang, 26 Ogos 2010.
Pendakwaan terhadap tertuduh dikendalikan Pendakwa Raya, Asisten Superintenden Mohd Ridhwan Phang Abdullah.
Pada prosiding semalam, tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah menyebabkan Majistret Mohd Hafiz Mohd Noor menangguhkan kes pada 2 Januari tahun depan untuk serahan dokumen kepada peguam bela tertuduh.
“Kamu dibenarkan diikat jamin RM2,800 dengan seorang penjamin,” katanya.
Terdahulu, Mohd Syazwan yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), IPD Pasir Mas itu memohon jumlah tawaran jaminan RM3,000 dikurangkan.
“Saya merayu supaya mahkamah kurangkan jaminan kerana sejak saya ditahan setahun lalu, saya hanya mendapat separuh gaji,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: