akungan air undang tragedi

BUKIT PAYONG – Penduduk berdekatan Taman Wadi Impian di Paya Resak meluahkan rasa bimbang dengan kewujudan tempat takungan air sedalam hampir satu meter berdekatan taman perumahan itu yang dikhuatiri boleh mengundang kemalangan.

Takungan tersebut dikatakan sudah terbentuk sejak kira-kira tiga bulan lalu dan dipenuhi air berikutan hujan yang kerap melanda kawasan berkenaan sepanjang musim tengkujuh ini.

Sebuah keluarga yang tinggal paling hampir dengan takungan itu juga mendakwa, kanak-kanak kerap bermain di kawasan berkenaan.

Mereka juga berpendapat pihak bertanggungjawab perlu bertindak segera bagi mengelak daripada sebarang insiden kemalangan.

Ketua keluarga berkenaan, Mohd@Rosdi Muda, 61, mendakwa, takungan terletak di hadapan rumahnya itu dipenuhi air sedalam hampir satu meter boleh menyebabkan kemalangan khususnya kepada kanak-kanak jika terjatuh ke dalamnya.

Membahayakan lagi keadaan katanya, kawasan takungan air itu sering menjadi tumpuan kanak-kanak bermain pada setiap pagi dan petang khususnya sepanjang musim cuti persekolahan.

“Memang lubang ini tidak dalam, tetapi ia cukup untuk membuatkan kanak-kanak lemas. Apatah lagi, takungan ini terbentuk agak lebar dan terletak di tepi jalan kampung ini yang menjadi tempat utama kanak-kanak bermain,” katanya semalam.

Sehubungan itu, bapa 11 anak ini berharap kepada pihak berkenaan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya mengambil langkah segera menimbus semula takungan itu dan tidak hanya bertindak selepas berlaku kejadian tidak diingini.

Dalam perkembangan lain, Mohd@Rosdi juga kesal kerana PBT tidak memunggut sampah di kawasan berkenaan apabila sebuah tong yang diletakkan berhampiran Taman Wadi Impian di situ penuh dengan sampah dan mengeluarkan bau busuk.

“Tiada pihak memungut sampah sejak beberapa hari ini, sampah dalam tong yang terletak di kawasan peruma-han dan berdekatan taku-ngan melimpah keluar. Kami yang tinggal berdekatan sini sudah tidak lagi tahan dengan bau busuk,” katanya.

Sementara itu, pihak Majlis Daerah Marang (MDM) ketika dihubungi semalam, berjanji akan me-ngambil tindakan berhubung permasalahan yang diutarakan penduduk terbabit dalam tempoh terdekat ini.