SUASANA Sunway Lagoon pada 16 Oktober lalu sangat berbeza jika dibandingkan dengan hari-hari biasa atau pada hujung minggu yang lain.
Jika sebelum ini pintu taman tema air itu beroperasi untuk hiburan orang awam, namun hari tersebut ia turut membuka pintunya buat Kumpulan Sunway meraikan keluarga besarnya yang terdiri daripada kakitangan dari seluruh Semenanjung Malaysia.
Lebih 12,500 staf yang hadir diraikan sempena Hari Keluarga Sunway yang ke-38 bermula pukul 7.30 pagi hingga 6 petang.
Sunway Lagoon Surf Beach menjadi saksi 'tautan kasih' keluarga besar itu yang berkumpul setahun sekali untuk beramah mesra dan bergurau senda bagi melupakan seketika lelah bekerja.
Sambutan sehari suntuk itu turut dihadiri oleh kumpulan pengurusan termasuk staf dari pelbagai bahagian perniagaan. Di bawah tema Passion Unites, penganjuran itu seiring penggabungan Sunway baru-baru ini untuk menjadi salah satu daripada syarikat pembinaan hartanah terbesar negara.
Pelancaran Hari Keluarga Sunway dimeriahkan dengan persembahan kumpulan genderang yang menggabungkan sembilan orang pemain dram daripada pelbagai latar budaya dan etnik berbeza iaitu Melayu, Cina, India dan Sikh yang mendapat sorakan gemuruh apabila memainkan aneka lagu-lagu popular.
Pemain-pemain dram daripada pelbagai latar budaya secara simbolik memperlihatkan kepelbagaian latar staf kumpulan Sunway. Ternyata, persembahan luar biasa itu menzahirkan kuasa dan semangat penyatuan yang menjadi pegangan dalam menjalankan tugas.
Hari Keluarga yang dianjurkan oleh kelab sukan kumpulan iaitu Kelab Sukan Sunway diceriakan lagi dengan pelbagai acara sukaneka yang membuatkan sesiapa sahaja pecah perut melihat telatah rakan dan ahli keluarga masing-masing.
Cabaran mencuit hati
Acara sukaneka yang mengundang ketawa besar adalah cabaran mengepit bola di celah kelangkang yang dimainkan oleh staf lelaki dan wanita. Walaupun sudah lama meninggalkan zaman kanak-kanak, ternyata permainan tersebut mampu membangkitkan semula nostalgia zaman kanak-kanak mereka.
Selepas sehari suntuk menyertai pelbagai aktiviti dan cabaran, tiba masanya untuk juara Karnival Sukan Sunway diumumkan. Kali ini, pasukan Merah telah muncul sebagai pemenang keseluruhan dan sekali gus melayakkan mereka dianugerahkan dengan Trofi Cabaran Tan Sri Jeffrey Cheah.
Kemeriahan sambutan hari keluarga tersebut turut dirasai oleh Suraya Hani Khalid, 30, yang membawa empat ahli keluarganya untuk sama-sama mengambil bahagian.
"Acara seperti ini merupakan satu platform yang baik untuk merapatkan lagi hubungan dan semangat setiakawan antara rakan sekerja serta keluarga masing-masing.
"Saya bangga menjadi sebahagian daripada organisasi ini yang mengintegrasikan keseimbangan kerja dan kehidupan dalam pengurusannya," katanya.
Dalam pada itu, Sangeetha Balakrishnan, 31, pula berpendapat dia bersama-sama rakan sekerja yang lain meluangkan satu pertiga kehidupan seharian di tempat kerja. Aktiviti sedemikian, menurutnya, dapat menyatukan keluarga dan rakan sekerja.
"Aktiviti sebegini membolehkan kami memahami dan mengenali hati budi masing-masing dengan lebih baik supaya menjadi lebih produktif dalam kehidupan di tempat kerja dan di rumah," ujarnya yang membawa ibu dan adiknya untuk turut serta dalam hari keluarga tersebut.
Timbalan Pengerusi Kumpulan Sunway, Datuk Razman M. Hashim yang melancarkan Hari Keluarga tersebut memberitahu bahawa majlis tersebut adalah amat bermakna kerana ia merupakan perhimpunan pertama selepas penggabungan Kumpulan Sunway awal tahun ini.
"Tahun ini, Hari Keluarga Sunway amat penting dan bermakna kerana ia adalah perhimpunan pertama kami sebagai satu keluarga di bawah panji-panji Sunway Berhad.
"Sebagai konglomerat yang besar, kita berasal dari latar belakang yang berbeza sama ada dari segi budaya dan profesional tetapi berkongsi satu nilai yang menyatukan kita semua iaitu keghairahan untuk mencapai kecemerlangan.
"Saya benar-benar percaya bahawa keghairahan ini akan membawa kita lebih jauh dalam perjalanan untuk bersama-sama membina masyarakat," ujar beliau.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: