|
|
SEBAIK berada di Serambi Astana Raja, Rembau, Negeri Sembilan, kru Jurnal bagaikan berada pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.
Malah, kunjungan di rumah itu disambut mesra oleh seorang insan bernama Zainal Al-Johan.
Berusia 46 tahun perwatakan Zainal mulanya agak misteri.
Ironinya, lelaki yang pernah mendapat latihan di Akademi Marin, California, Amerika Syarikat (AS) ini sering memakai pakaian seperti pahlawan Melayu.
Dia sentiasa berpakaian kemas dengan lilitan pontoh manakala keris panjang sering tersisip di pinggangnya.
“Pergi ke tempat kerja, berjumpa dengan orang ramai serta membeli-belah sekalipun inilah pakaian rasmi saya.
“Mulanya, ramai menganggap saya seorang yang gila kerana berpakaian sebegini namun kini agak ramai yang dapat menerimanya serta memujinya,” katanya yang lebih selesa menggunakan perkataan ‘hamba’ untuk berbicara.
Realitinya, lelaki yang selesa berambut panjang dan berjanggut ini pernah bekerja sebagai Komandan Tentera di Kubang Pasu, Kedah semasa era bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Sebenarnya terdapat beberapa artifak Melayu tersimpan rapi di Serambi Astana Raja.
Penulis diajak duduk bersila sebelum dijamu dengan minuman istimewa digelar Rempaka.
Rempaka ialah minuman yang disajikan kepada tetamu luar negara semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka selain minuman khas sultan-sultan Melaka.
Minuman ini diperbuat daripada adunan beberapa akar kayu.
“Cara untuk membuat air Rempaka juga cukup berbeza. Jika dibuat terlalu awal atau lambat, ia akan menyebabkan minuman ini menjadi terlalu pahit atau tawar,” katanya ketika ditemui Jurnal pada Jumaat lepas.
Penulis merasai sendiri air Rempaka dan ternyata rasanya enak walaupun tidak dicampur gula.
Zainal memberitahu, air Rempaka juga baik untuk melancarkan pengaliran darah.
Keris
Sebelum ini, Zainal juga sering membawa Keris Tempa Melaka yang pernah digunakan oleh pahlawan ulung Melayu iaitu Hang Tuah.
Keris Tempa Melaka merupakan keris kedua Hang Tuah selepas keris Taming Sari.
“Keris ini ditempa daripada 21 jenis logam dan mempunyai 21 lok. Keris Tempa Melaka ditempa oleh seorang pandai keris bernama Sang Guna,” ujar Zainal bersemangat.
Katanya, jika dunia mengatakan senjata paling tajam adalah pedang Samurai buatan Jepun yang ditempa dengan 12 jenis logam tetapi keris Tempa Melaka lebih hebat kerana diperbuat daripada 21 jenis logam,” ujar Zainal.
Cerita kehebatan bangsa Melayu tidak terhenti begitu sahaja dalam benak fikiran lelaki ini.
Bicaranya, sejarah dunia mengatakan Ferdinand Megalan merupakan orang pertama yang mengelilingi dunia.
Hakikatnya, individu itu sebenarnya ialah Panglima Awang Hitam atau lebih dikenali sebagai Henry The Black atau Enrique de Malacca.
Kata Zainal, Megalan dibunuh di Filipina oleh Panglima Awang dengan bantuan pahlawan Melayu Filipina iaitu Si Lopu Lopu. Panglima Awang dipercayai meneruskan misi pengembaraannya sehingga ke Sepanyol.
“Panglima Awang juga dilantik menjadi Gabenor di Sepanyol dan menamakan satu wilayah di sana dengan nama Malacca.
“Beliau juga menggunakan sejenis alat bernama Cakera Alam yang menggunakan lima buah cakera yang memberi petunjuk arah, maklumat bintang, tiupan angin, pasang surut air, dan pelbagai lagi,” katanya.
|
|
Tangtuang
Bangsa Melayu juga mahir mencipta alatan muzik tradisional.
“Sebuah alat muzik yang dikenali sebagai ‘tangtuang’ diperbuat daripada tanduk kerbau digunakan untuk memulakan peperangan.
“Menariknya, bahagian dalamnya kosong tanpa ada apa-apa elemen yang boleh membantunya mengeluarkan bunyi,” katanya.
Penulis mencuba meniup tangtuang sehingga muka berubah menjadi kemerah-merahan tetapi tiada bunyi terhasil sebaliknya air liur yang tersembur.
Zainal juga menjelaskan cara meniupnya menggunakan pengetahuan prinsip bunyi dalam sains iaitu getaran, dengungan dan ruang (reka bentuk).
Apabila tangtuang ditiup bunyi yang sangat kuat seperti bunyi serombong kapal!
Beliau juga menunjukkan Teko Armada yang diperbuat daripada seramik.
Menariknya Teko Armada yang diperbuat daripada seramik bercorak burung cenderawasih dan naga.
Uniknya teko ini diisi airnya melalui lubang kecil yang terdapat di bahagian bawahnya.
“Airnya juga tidak akan tumpah kerana terdapat alatan di dalamnya menghalangi air tumpah,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: