Thursday, December 8, 2011

KRISAKTI curi tumpuan


Barisan pasukan aerobatik kebangsaan Krisakti yang akan membuat persembahan pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2011 (LIMA'11) menggantikan pasukan terkenal Red Arrow dari United Kingdom.


KETIKA ini, deruman bunyi pesawat canggih di ruang udara Langkawi pasti mengujakan pengunjung yang berada di pulau tersebut.

Pelbagai formasi aerobatik pula pasti sedang dipamerkan oleh juruterbang-juruterbang profesional untuk santapan mata mereka yang mengunjungi Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2011 (LIMA'11).

Jika sebelum ini pengunjung sering ternanti-nanti kehebatan pasukan terkenal Red Arrow yang masyur dengan kehebatan aerobatik pesawat mereka, LIMA'11 kali ini membawa kelainan tersendiri.

Pasukan aerobatik kebangsaan, KRISAKTI akan menggantikan peranan pasukan dari United Kingdom itu dengan kemunculan sulung mereka pada pameran udara dan maritim terbesar dunia itu dijangka meningkatkan keghairahan ribuan pengunjung pameran tersebut kali ini.

Apa yang pasti, nama pasukan aerobatik kebangsaan pertama negara itu akan menjadi sebutan ramai selepas ini.

Harapan tinggi yang diletakkan pada bahu KRISAKTI pastinya menjanjikan yang terbaik dalam mengangkatkan prestij pameran dwitahunan itu kali ini meskipun tanpa kehadiran Red Arrow.

KRISAKTI yang diilhamkan kerajaan bagi memenuhi hasrat menubuhkan sebuah pasukan aerobatik kebangsaan. Pasukan tersebut merupakan usaha sama antara Kementerian Pertahanan dan juga sebuah syarikat swasta tempatan, Aerotree Defence & Services Sdn. Bhd. (Aerotree).

KRISAKTI terdiri daripada empat buah pesawat Extra 300L yang dipandu oleh dua juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan dua juruterbang daripada Aerotree.

Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad berkata, penubuhan pasukan aerobatik tersebut bukan hanya untuk LIMA tetapi ia juga akan digunakan ketika majlis sambutan utama negara seperti kemerdekaan dan sebagainya.

"Kami tidak bekerjasama dengan Aerotree menubuhkan KRISAKTI semata-mata untuk LIMA. LIMA hanya diadakan dua tahun sekali sahaja.

"KRISAKTI ditubuhkan adalah untuk memenuhi hasrat kerajaan yang mahukan sebuah pasukan aerobatik negara. Jadi, KRISAKTI akan terlibat dengan persembahan pada sambutan-sambutan utama negara.

"Selain itu, mana-mana syarikat yang berminat untuk mendapatkan khidmat KRISAKTI dan mahukan pasukan tersebut membuat persembahan aerobatik boleh memohon daripada syarikat Aerotree dengan kadar bayaran tertentu," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Secara keseluruhannya, terdapat 11 buah pasukan yang membuat persembahan pada LIMA kali ini terdiri daripada tiga pasukan tempatan termasuk KRISAKTI dan lapan buah pasukan dari luar negara.

Selain KRISAKTI, dua lagi pasukan negara adalah daripada TUDM yang menggunakan pesawat Sukhoi SU-30 dan juga MiG-29N.

Lapan lagi pesawat luar negara yang membuat persembahan terdiri daripada F16C milik Tentera Udara Diraja Singapura (RSAF), Eurofighter Typhoon (RAF), Mirage Rafale (Tentera Udara Perancis), F/A-18E Super Hornet (Boeing), AH6i (Boeing), Tiger Attack Helicopter (Eurocopter), Dornier 228-212 (Aeroangkasa Ruag) dan C-17 Globemaster III (USAF).

Selain persembahan aerobatik, LIMA turut menyajikan pameran pesawat statik.

Kebanyakan pesawat yang dipamerkan merupakan pesawat generasi keempat yang tercanggih di dunia ketika ini. Terdapat 45 pesawat dari dalam dan luar negara digunakan untuk pameran statik berkenaan. Antaranya ialah F/A-18D, Hawk 108/208, MB-339CM, CN-235 dan SK-61.

Pesawat dari luar negara yang terlibat pula adalah seperti KC-30A (RAAF), S-70B Sea Hawk (RSAF), EC145 dan Tiger HAD (Eurocopter), ATAK Team T129 dan Agusta AW149 (Agusta Westland).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: