Thursday, December 8, 2011

Belum yakin berlakon filem


IZARA Aishah antara bintang baru yang cukup menyinar ketika ini.


MEMANG tidak dinafikan, air mukanya yang mempunyai riak sombong dengan renungan mata yang tajam membuatkan ramai menyangka gadis genit ini sukar didekati.

Malah, tuan punya badan sendiri mengakui akan hakikat itu. Tetapi, bagi Izara Aishah, dia sedikit pun tidak melenting mahupun berkecil hati jika ada yang menyangka dirinya begitu.

"Sudah menjadi adat. Tak kenal, maka tak cinta. Saya bukan seperti itu. Sejak saya menjadi pelakon, sudah banyak saya digelar dengan pelbagai konotasi sehingga ada yang takut untuk dekat dengan saya (ketawa).

"Barangkali dengan wajah sombong saya ini juga, ia sebenarnya membawa tuah kerana rezeki yang saya terima tidak pernah putus," ujar aktres yang mesra disapa Izara ini dalam derai tawa sewaktu ditemui pada majlis perasmian Pameran Busana Perkahwinan Mutiara di Muzium Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menyambung bicara, anak kelahiran Johor Bahru, Johor ini memberitahu, tuah sering memihak kepadanya untuk membawakan watak antagonis yang seakan-akan sudah menjadi identitinya selama hampir setahun bergelar seorang aktres.

Drama bersiri Keranamu Laila dan Soffiya yang masing-masing ditayangkan di TV3 sepanjang tahun ini telah membuat masyarakat sedar akan kehadiran pelakon kecil molek ini.

Dua drama rantaian itu sudah cukup membuatkan penonton dan peminat drama tempatan yang bagaikan selesa dengan kehadiran Izara memeran watak hitam dalam mana-mana drama.

Tetapi bagi diri gadis berusia 19 tahun ini sendiri, dia seboleh-bolehnya mahu lari daripada watak sedemikian kerana bimbang dilabelkan sebagai stereotaip dan tidak berupaya membawakan watak lain.

"Saya pernah membawakan watak baik dalam drama Kasih Najihah dan watak komedi menerusi drama Jejaka J misalnya. Tetapi mungkin penonton tidak sedar akan kehadiran saya.

"Alhamdulillah, apabila saya muncul dalam Keranamu Laila dan Soffiya, masyarakat mula sedar akan kehadiran saya lalu membuatkan saya berazam untuk terus bekerja keras dalam bidang ini," kata naib juara Dewi Remaja 2010 ini penuh optimis.

Cukup sedar akan kehadirannya sebagai salah seorang bakat baru yang semakin menyinar kerdipan bintangnya, Izara tidak mahu mengejar populariti semata-mata.

Serius dalam kerjaya

Sebaliknya, dia benar-benar serius dengan kerjayanya sebagai seorang aktres dan akan terus gigih berusaha memperbaiki segala kelemahannya.

Kata Izara lagi, sebagai orang baru dalam bidang lakonan, perjalanannya masih terlalu jauh dan hanya satu pinta Izara agar dia terus diberi ruang untuk menonjolkan bakatnya sebagai seorang pelakon.

"Saya menerima segala kritikan kerana saya tahu, semua itu amat penting bagi diri saya dalam menjadi seorang aktres yang baik.

"Sewaktu saya mula-mula keluar dulu pun, saya teruk dikritik apabila ramai yang mengatakan lakonan saya kayu dan nampak sungguh kaku di skrin.

"Tetapi, saya melihatnya dari sudut positif dan sebagai seorang anak seni, saya percaya usaha dan kerja keras akan membuahkan hasil di masa hadapan," ujar Izara yang mengakui hatinya sudah dimiliki oleh seorang jejaka namun, enggan mendedahkan identiti sebenar sang arjuna itu.

Dalam konteks ini kata Izara, dia yang kini sedang sibuk dengan penggambaran drama bersiri Vanila Coklat mahu peminat dan penonton dapat menilai sebaik mungkin lakonannya nanti.

Bukan lagi watak antagonis, sebaliknya Vanila Coklat memperlihatkan sisi putih Izara dalam drama rantaian 13 episod yang turut menampilkan Iqram Dinzly sebagai teraju utama.

Biarpun ketika ini cukup lebat dengan tawaran drama, tetapi bagi Izara dia tidak mahu terburu-buru dan tamak menerima semua tawaran yang datang kepadanya.

Seboleh-bolehnya dia mahu melakukannya secara perlahan-lahan dan tidak terlalu drastik kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa di kemudian hari.

"Saya sedar akan kemampuan saya sebagai pelakon baru. Kalau saya menerima semua tawaran tetapi hasilnya nanti mengecewakan, saya yang akan menanggungnya.

"Untuk itu, adalah lebih baik saya menerima tawaran satu demi satu demi kebaikan saya juga. Atas alasan itu jugalah, saya belum yakin untuk berlakon filem.

"Bukannya tidak ada tawaran, tetapi ada ketikanya tawaran itu datang di kala saya sibuk dengan penggambaran drama. Jadi, apabila masa yang sesuai tiba nanti, insya-Allah, saya akan berlakon filem pula," katanya yang mengharap watak-watak yang dapat mencabar kredibilitinya sebagai seorang aktres.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: