MENERIMA kehadiran anak-anak istimewa dalam keluarga merupakan satu cabaran besar bagi setiap pasangan yang bergelar ibu bapa.
Biar apapun, kehadiran anak-anak istimewa ini tetap ibarat permata tiada tandingan yang menyerikan rumah tangga.
Walaupun tidak sempurna, mereka mempunyai keistimewaan tersendiri dan kasih sayang yang diberi tiada beza seperti anak normal lain.
Berdepan dengan anak-anak istimewa seperti autisme pastinya memerlukan kesabaran dan ketabahan.
Apatah lagi dunia kanak-kanak autisme masih misteri kerana tiada siapa tahu apa yang bermain dalam fikiran mereka.
Di Malaysia dianggarkan satu daripada 600 kanak-kanak mengalami masalah berkenaan. Statistik juga menunjukkan kini ada kira-kira 47,000 penduduk negara ini menghidap autisme.
Daripada jumlah itu, empat atau lima orang bagi 10,000 pesakit mengalami autisme tulen yang mengakibatkan mereka kehilangan keupayaan memahami keadaan sekeliling, kecuali diri sendiri.
Sebagai langkah meningkat kesedaran dan pendidikan mengenai autisme di kalangan orang ramai pihak pengurusan pusat beli-belah terkenal, Suria KLCC baru-baru ini menganjur kempen dikenali sebagai Purple Day.
Kempen tersebut bukan sekadar memberi panduan tetapi juga pendidikan berguna kepada orang ramai mengenai autisme.
Ketua Pegawai Eksekutif KLCC, Andrew Brian berkata, kempen itu bertujuan memberi kesedaran terutama kepada ibu bapa dalam mendidik anak-anak yang mengalami autisme.
Malah, ia juga memberikan pengetahuan kepada orang ramai mengenai cara yang mereka boleh lakukan bagi membantu pesakit-pesakit autisme.
"Kempen ini juga merupakan tanda tanggungjawab sosial kami dalam membantu memberikan kesedaran dan pengetahuan kepada orang ramai," katanya pada majlis pelancaran kempen tersebut di ruang legar KLCC, di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Hadir merasmikan kempen ialah Timbalan Pengarah Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Zainal Arifin Omar.
Turut hadir Presiden Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom), Teh Beng Choon.
Menurut Brian lagi, melalui kempen itu beberapa kiosk telah dibuka di tengah-tengah pusat membeli belah itu yang menempatkan barang-barang seperti baju-T berwarna ungu dan pelbagai cenderamata.
Jelas beliau, orang ramai boleh mendapatkan pelbagai cenderamata tersebut dan sebahagian hasil jualan akan di dermakan kepada Nasom.
Katanya lagi, pada tahun lepas pihaknya berjaya mengumpul RM42,228 hasil daripada kempen yang sama.
Katanya lagi, tahun ini melalui kempen yang sama pihaknya menyasarkan untuk mengumpul RM100,000 untuk diserahkan kepada Nasom.
Katanya, melihat kepada sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung pusat beli-belah tersebut, kempen tersebut akan dijadikan acara tahunan dalam memberikan pengetahuan kepada orang ramai di samping membantu menambah dana Nasom.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: