amil

YAN - “Amil diminta supaya bekerja lebih kuat mengutip zakat padi,” demikian tegas Setiausaha Jawatankuasa Zakat Negeri Kedah, Datuk Syeikh Ghazali Yaacob.

Syeikh Ghazali berkata, amil zakat khususnya di daerah Yan ini diminta untuk lebih bersemangat mengutip zakat padi bagi meningkatkan jumlah kutipan zakat padi tahun hadapan.

Menurutnya, kutipan zakat padi daerah Yan menurun pada tahun ini dan Jabatan Zakat Negeri Kedah telah mengadakan Kursus Amil Zakat Padi Peringkat Daerah Yan bagi memupuk semangat kepada amil untuk menaikkan jumlah kutipan, kelmarin.

“Hari ini (kelmarin) kita buat kursus amil zakat padi sebab hendak memberitahu kepada mereka (amil) bahawa jumlah kutipan zakat padi tidak mencapai jumlah sepatutnya.

“Dengan kursus yang diadakan ini diharap dapat mengembalikan semangat kepada amil zakat supaya bekerja lebih kuat untuk kutip zakat padi di daerah ini,”katanya.

Syeikh Ghazali berkata, zakat padi bagi daerah Yan sepatutnya adalah RM3.4juta bagi keluasan 10,025.25 hektar padi.

Namun katanya, jumlah kutipan zakat padi bagi tahun ini setakat ini hanya RM907,000 dan menunjukkan perbezaan ketara daripada sasaran kutipan.

“Daerah Yan adalah daerah yang istimewa kerana merupakan daerah yang mempunyai kawasan padi yang luas.

“Saya berharap jumlah kutipan zakat padi dapat mencapai sasaran sepatutnya. Jika banyak zakat yang diperolehi maka lebih banyak orang yang memerlukan dapat dibantu JZNK,”katanya.

Dalam perkembangan sama, Syeikh Ghazali berkata, JZNK kini sedang membiayai 29 pelajar melalui biasiswa penuh bagi mereka melanjutkan pelajaran di Mesir.

Menurutnya, JZNK telah memperuntukkan sebanyak RM45,000 setahun bagi seorang pelajar dan RM270,000 dibelanjakan untuk seorang pelajar selama tempoh enam tahun di Mesir.