tiada air

SUNGAI PETANI – Masalah bekalan air di Projek Perumahan Rakyat Paya Nahu bukan perkara baru malah 200 penduduk merangkumi blok A, B, C dan E di Flat Paya Nahu 1 terpaksa berhadapan masalah sama sekali lagi.

R Vasantha, 54, berkata, sejak 15 tahun menetap di kawasan itu, dia dan keluarga kerap berhadapan dengan ketiadaan bekalan air namun kali ini berlaku dalam tempoh paling lama sehingga lapan hari.

Menurutnya, penduduk terpaksa menadah air dari pili bomba sebelum angkut ke atas dengan menggunakan tangga.

“Selalunya bekalan air tak ada hanya dalam tempoh singkat namun kali ini melebihi seminggu menyebabkan penduduk terpaksa mencari alternatif lain bagi mendapatkan bekalan,” katanya.

Penduduk, Noraniza Aziz, 35, berkata, dia hanya akan turun mengambil air setelah memastikan dua anaknya, berusia lapan bulan dan 6 tahun tidur.

“Disebabkan terpaksa saya kena angkutt sendiri bekalan air setelah pastikan anak dan bayi tidur sepanjang ketiadaan suami yang keluar bekerja,” katanya.

Penduduk, A Devana, 46, berkata, keadaan pam air yang sudah berusia 15 tahun perlu ditukar bagi memastikan kelancarannya.

Menurutnya, dia yang tinggal bersama cucu terpaksa turun ke bawah setiap kali ingin mandikannya dan perkara sama dilakukan oleh jiran yang terpaksa membawa pinggan mangkuk semata-mata ingin mencuci kesemua perkakasan itu.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Ketua Komuniti, Rodiah Abdullah berkata, pihaknya telah membuat kutipan sebanyak RM5 sebuah rumah bagi membiayai kos kerja-kerja baik pulih pam air automatik yang rosak.

“Namun perkara ini mengambil masa memandangkan alat ganti dan kerja-kerja membaiki perlu dilakukan secara teliti,” katanya menafikan kenyataan penduduk bahawa tiada sebarang progres dijalankan berhubung masalah itu.

Beliau bagaimanapun berjanji bahawa pam air berkenaan dapat dipasang semula dalam masa terdekat sepertimana dimaklumkan oleh tauke kedai di Pekan Lama Sungai Petani.

Wakil Adun Bukit Selambau, K Suppiah berkata, pihaknya telah menghubungi Sada yang akan menghantar bekalan air bersih kepada penduduk dalam masa terdekat.