Thursday, December 22, 2011

Kempen Kesihatan Tadika


TAi Yee Ern (empat dari kiri) bersama sebahagian pemenang kanak-kanak lain dalam pertandingan Kempen Kesihatan Tadika, anjuran GSK dan PTM, baru-baru ini.


TUAH ayam nampak di kaki tuah manusia siapa yang tahu. Itulah ungkapan sesuai buat seorang kanak-kanak yang berusia lima tahun, Tai Yee Ern, apabila berjaya membawa pulang sebuah iPod Touch selepas dipilih menjadi pemenang dalam Kempen Kesihatan Tadika, baru-baru ini.

Dalam peraduan tersebut, kanak-kanak bertuah itu berjaya mencuit hati juri dan mengalahkan lebih 150 peserta lain yang menyertai kempen yang dianjurkan oleh Persatuan Tadika Malaysia (PTM) dan GlaxoSmithKline Pharmaceutical (GSK) itu.

Kempen tersebut diadakan di 10 tadika di sekitar Lembah Klang dan mengambil masa selama tiga bulan.

Dalam kempen itu, sebanyak 271 ibu bapa bertuah terpilih berkomunikasi secara terus dengan doktor pakar kanak- kanak mengenai apa jua permasalahan yang dialami anak mereka.

Lebih menarik kempen itu turut memberikan ibu bapa maklumat dan panduan tentang penyakit-penyakit yang lazimnya menyerang kanak-kanak pada usia lima hingga enam tahun. Kanak-kanak yang terbabit dalam kempen tersebut turut terbabit dalam permainan interaktif.

Menurut Presiden Persatuan Tadika Malaysia, Jayawathi Perera, kempen itu berjaya menggalakkan kanak-kanak untuk menyuarakan pandangan mereka mengenai pentingnya untuk menjalani kehidupan yang sihat dan aktif.

Kempen kesihatan yang diberi nama What Kids Say itu memerlukan kanak-kanak mengambil gambar diri mereka dan memuatkan ke laman web PTM beserta dengan pandangan mereka tentang kehidupan yang sihat.

"Dengan adanya program seumpama ini, ia bukan sahaja mampu memberikan pendedahan tentang Internet kepada anak-anak tetapi juga memberi pengetahuan kesihatan kepada anak-anak untuk menjalani kehidupan yang sihat,'' ujarnya ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah yang di adakan di Bangsar baru-baru ini.

Dilancarkan pada Mei 2011, Kempen Kesihatan di tadika menyasarkan untuk melengkapkan ibu bapa dan institusi pra sekolah tentang pengetahuan dan maklumat penting berkaitan kesihatan serta pembesaran kanak-kanak.

Katanya, kempen ini juga merupakan satu platform bagi memberi kesedaran dan mendidik kanak-kanak tadika, guru-guru dan ibu bapa tentang kepentingan perlindungan daripada penyakit yang biasa dihidapi kanak-kanak seperti campak, beguk, rubella dan cacar yang menganggu kesihatan berjuta-juta individu di seluruh dunia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: