Thursday, December 22, 2011

Gubahan kreatif kek cawan, coklat


Zariza Mohamed Sadar bersama sebahagian daripada gubahan kek cawan dan coklat yang dihasilkannya.


UBAHAN adalah satu seni kreativiti atau kemahiran diri yang tidak dimiliki oleh semua orang. Malah kreativiti yang wujud dalam diri individu tersebut merupakan satu anugerah yang tidak ternilai harganya kerana dengan adanya kemahiran itu ia mampu mengubah kehidupan harian.

Walaupun tidak dapat dibuktikan, ternyata, sesiapa yang memiliki kreativiti dan memanfaatkannya ia mampu memberi pendapatan lumayan.

Begitu juga dengan Zariza Mohamed Sadar, 32, seorang suri rumah yang memanfaatkan kemahiran yang dimilikinya dengan menghasilkan gubahan yang cantik dan menawan.

Mula serius sejak Julai lalu, sebelum ini Zariza hanya membuat gubahan secara sambilan.

Ibu kepada dua cahaya mata itu juga tidak pernah mempelajari cara-cara untuk membuat gubahan malah semuanya merupakan dari anugerah bakat semula jadi.

"Sebenarnya semua berlaku secara tidak sengaja apabila saya membuat keputusan melibatkan diri dalam perniagaan.

"Ia dimulakan dengan berniaga coklat secara dalam talian. Tetapi tidak mendapat sambutan. Dari situ saya cuba mencari kelainan dengan menawarkan gubahan coklat dalam bakul.

"Alhamdulillah ia mula mendapat sambutan. Dari situ juga saya mula mendapat tempahan untuk membuat gubahan dari kek cawan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menajamkan lagi bakat sedia ada dengan mempelajari bidang itu melalui Internet, lama-kelamaan apa yang dihasilkan Zariza mendapat sambutan yang di luar dugaan.

Ini kerana, gubahannya selain diberi sebagai hadiah untuk apa juga majlis ia juga boleh dijadikan hantaran pertunangan ataupun perkahwinan.

Melihat gubahan yang dihasilkan Zariza, ia pastinya mengundang kekaguman sesiapa sahaja kerana apa yang dilakukan oleh anak kelahiran Banting, Selangor, ini merupakan satu pekerjaan yang rumit.

Menurut Zariza, dia tidak hanya menawarkan perkhidmatan gubahan malah turut menghasilkan kek cawan dan coklatnya sendiri.

Katanya lagi, ini memudahkannya untuk membuat gubahan di mana para pelanggan boleh membuat pilihan sama ada inginkan gubahan daripada kek cawan ataupun coklat.

Tidak terhad kepada gubahan di dalam bakul, Zariza turut menawarkan gubahan lain seperti jambangan bunga tangan.

Yang pasti, gubahan yang dihasilkan diserikan lagi dengan pelbagai warna mengikut cita rasa dan permintaan pelanggan.

Menawarkan gubahan serendah RM60, bagaimanapun jelas Zariza, segala tempahan boleh dilakukan mengikut bajet pelanggan.

"Jika ikut pakej yang ditawarkan memang ia bermula dari harga serendah RM60.

"Tetapi segala gubahan sama ada coklat mahupun kek cawan boleh dibuat mengikut bajet dan kehendak pelanggan," katanya lagi.

Dalam masa yang sama, syarikat yang didaftarkan di atas nama Cha Chocolate & Cupcakes itu turut menawarkan perkhidmatan penghantaran ke mana jua sekitar Lembah Klang.

Bagi mereka yang ingin melihat hasil kerja tangan Zariza, bolehlah melayari www.facebook.com/chachocolatecupcakes.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: