Thursday, December 22, 2011

Anak istimewa dirai di Taman Burung


Kanak-kanak dari Pusat Penjagaan Taman Megah berpeluang melihat ratusan ikan yang dipelihara di Taman Burung Kuala Lumpur.


Bagi mereka yang menggemari keindahan alam semula jadi, berada di Taman Burung Kuala Lumpur memang sukar diluahkan dengan kata-kata. Sebaik menjejak kaki di sana, pengunjung pasti terlupa seketika tentang hiruk-piruk kota raya yang sentiasa sibuk.

Bersesuaian dengan keindahan alam yang mendamaikan dan mampu memberikan suasana baru mendorong kakitangan GlaxoSmithKine Pharmaceutical (GSK) baru-baru ini mengadakan program Orange Day yang turut disertai 35 penghuni Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Cacat Taman Megah, Kuala Lumpur.

Melalui program itu, seramai 73 kakitangan GSK, berpeluang mengenali secara dekat anak-anak tersebut.

Malah program itu juga merupakan tanggungjawab sosial syarikat tersebut untuk memberi khidmat masyarakat kepada orang luar.

Menurut Pengarah Hal Ehwal Korporat GSK Rohan Talalla, Orange Day merupakan khidmat sosial GSK kepada masyarakat luar.

"Berbeza tahun ini, kami memilih kelainan dengan membawa kanak-kanak dari Pusat Penjagaan Taman Megah untuk mengenali dunia luar selain berkenalan secara dekat dengan anak-anak ini," katanya.

Menurut beliau, memandangkan kanak-kanak ini dijaga sepenuhnya di pusat penjagaan dan jarang berpeluang mendapat hiburan, program ini pastinya memberikan satu peluang kepada mereka untuk berjalan-jalan dan bermanja dengan kakitangan GSK.

Dalam lawatan tersebut, kanak-kanak istimewa ini turut diberikan penerangan dan maklumat tentang taman burung itu.

Malah mereka juga turut berpeluang bermain dengan haiwan-haiwan lain yang terdapat di sekitar taman berkenaan.

Lebih menarik, kanak-kanak itu tidak sekadar memperoleh pengalaman, sebaliknya berpeluang melakukan pelbagai aktiviti yang jarang-jarang dilakukan sebelum ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: