noh

PADANG TEMU - Kata dua diberikan kepada kontraktor projek pembinaan Hab Pendaratan Ikan di Muara Sungai Duyong Padang Temu setelah tertangguh lebih setahun.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, kontraktor terbabit diminta membuat pilihan sama ada menyiapkan projek dalam tempoh empat bulan lagi atau menarik diri dan sebahagian kos akan ditahan.

“Kontraktor berkenaan harus membuat aku janji sekiranya gagal menyiapkan projek dalam tempoh ditetapkan, bermakna projek itu akan diserahkan kepada pihak lain untuk disiapkan.

“Selain itu, kementerian bersedia mempertimbangkan memberi peruntukan tambahan berjumlah RM8 juta untuk projek berkenaan,” katanya ketika melawat tapak projek berkenaan di Padang Temu, di sini, semalam.

Hadir sama dalam lawatan, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Pengerusi Jawatankuasa Per­tanian Pembangunan Desa, Datuk R Perumal dan Adun Telok Emas, Datuk Latiff Tamby Chik.

Projek Hab Pendaratan Ikan di Muara Sungai Duyong yang bernilai RM40 juta itu mula dijalankan pada Oktober 2008 dan sepatutnya siap tahun lalu.

Menurut Noh, banyak kesan negatif yang dapat dilihat daripada kelembapan projek berkenaan.

“Saya lihat masyarakat memerlukan seperti nelayan menerima kesan, malah kontraktor terlibat juga merasai kepayahannya.

“Sebaik siapnya projek ini, ia akan menjadi lokasi aktiviti nelayan lebih moden ala Marina,” katanya.