Sunday, December 18, 2011

Karaoke sampai dinihari di Ileq Ileq


SANTAI... sekumpulan remaja meluangkan masa dengan berkaraoke di pentas terbuka di Medan Selera Ileq-Ileq, Taman Budaya Kuching, Sarawak.


KARAOKE, sama ada secara semi-profesional di pentas terbuka atau sekadar 'melalak' di bilik kecil yang tertutup memang menyeronokkan. Ia terbukti mampu menjadi terapi minda kepada seseorang selepas seharian penat bekerja.

Tidak hairanlah mengapa aktiviti tersebut yang bermula di Jepun sebagai satu kaedah untuk 'membuli' pekerja baru bertukar menjadi fenomena dan pantas merebak ke seluruh dunia.

Di negara ini, selain pusat karaoke yang tumbuh bak cendawan, terdapat juga pengusaha kedai makan yang mengambil inisiatif menyediakan sudut khas untuk pengunjung melepaskan gian menyanyi sambil menjamu selera.

Bagaimanapun, jika lokasinya tidak kena, aktiviti karaoke secara terbuka seperti itu boleh mengganggu ketenangan penduduk berhampiran kerana menimbulkan bunyi bising, lebih-lebih lagi jika dilakukan pada waktu lewat malam.

Bagi warga bandar raya Kuching, sekiranya mereka ingin berkaraoke sehingga dinihari, Ileq Ileq, sebuah medan selera yang terletak di Taman Budaya menjadi pilihan utama.

Tersorok di sebalik rimbunan pepohon tua berusia puluhan tahun dengan tasik buatan terbentang indah di hadapannya, Ileq Ileq memberi peluang kepada pengunjung menikmati hidangan makan malam sambil berhibur.

Lebih menarik, aktiviti karaoke terbuka di medan selera itu bukan sahaja mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT), malah disokong penuh masyarakat setempat.

Ini kerana kewujudan Ileq Ileq akhirnya berjaya menghidupkan Taman Budaya yang selama ini 'mati' pada waktu malam, sekali gus membersihkan taman rekreasi itu daripada kegiatan jenayah dan aktiviti tidak bermoral.

Pengurusnya, Dayang Faridah Abang Hamdan berkata, tapak medan selera yang dibina oleh pihak Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) itu pernah diusahakan tiga pemilik kedai makan sebelum kesemuanya gulung tikar berikutan gagal menarik pelanggan.

"Jadi, pengusaha lain tidak berani menjalankan perniagaan di sini, menyebabkan ia tidak beroperasi selama empat tahun.

"Saya sedar, jika ingin mengusahakan perniagaan di tempat sebegini, kita perlu berfikir di luar kotak. Jadi, saya nekad mengemukakan cadangan kepada DBKU untuk membangunkan tapak ini sebagai sebuah medan selera yang mempunyai aktiviti rekreasi," katanya ketika ditemui S2.

Dibuka sejak Disember tahun lalu dan beroperasi setiap hari bermula pukul 7 malam hingga 3 pagi, populariti Ileq Ileq meningkat mendadak apabila menjadi tumpuan kaki karaoke mengasah bakat terpendam, terutama pada malam hujung minggu.

Syarat yang diguna pakai cukup mudah iaitu pengunjung hanya perlu membayar RM1 untuk setiap lagu dan boleh menyanyi bersama keluarga dan rakan-rakan di pentas yang disediakan.

Mereka juga berpeluang menguji kehebatan vokal masing-masing menerusi pertandingan karaoke terbuka anjuran medan selera itu yang diadakan pada setiap bulan Mac, Jun dan Disember.

Selain memberi peluang kepada orang ramai berkaraoke, pentas Ileq Ileq juga merupakan platform kepada mana-mana penyanyi amatur atau kumpulan indie yang ingin memperkenalkan diri dan muzik mereka kepada khalayak umum.

Menurut Dayang Faridah, pihaknya bukan sahaja mengalu-alukan golongan tersebut yang ingin membuat persembahan secara percuma di situ, malah turut menyediakan peralatan muzik yang lengkap dengan sistem audio berkualiti.

"Ia ibarat situasi menang-menang, kita menyediakan platform untuk anak-anak muda ini membuat persembahan dan mengasah bakat, mereka pula menghiburkan pelanggan yang datang ke Ileq Ileq.

"Ramai penyanyi tempatan pernah mengasah bakat di sini sebelum ke peringkat lebih tinggi seperti Daus AF8 dan Amir AF9," katanya.

Tambah bekas pramugari ini, selain karaoke dan persembahan pentas, Ileq Ileq juga membuka ruang kepada warga bandar raya ini bersantai dengan pelbagai permainan percuma seperti karom, catur, kad, scrabble, dart dan congkak.

"Turut disediakan adalah permainan pool dengan bayaran serendah RM2," katanya.

Padat dengan pelbagai aktiviti dan permainan, itu tidak bermakna Ileq Ileq mengabaikan perniagaan utamanya, iaitu sajian makanan.

Medan selera di dalam taman itu menyajikan pelbagai jenis makanan istimewa seperti tom yam dan ayam mentega serta pisang goreng yang didatangkan dengan ais krim atau taburan keju, milo, coklat dan horlics.

"Kebanyakan makanan yang ditawarkan dalam menu mengikut cita rasa orang muda kerana kami mahu menarik lebih ramai golongan itu bertandang ke Ileq Ileq, khususnya pada hujung minggu.

"Daripada bermotosikal ke sana ke mari atau terlibat dengan aktiviti jenayah, lebih baik mereka habiskan masa lapang dengan beriadah sambil menjamu selera di sini," katanya mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: